PAS TIDAK GENTAR WALAUPUN BERIBU ORANG AGAMA MASUK UMNO


 Parti Islam SeMalaysia (PAS) tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai umno. Kalau beribu-ribu menyertai umno pun Pas tidak takut. Lebih-lebih lagi mereka yang menyerah borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung daripada mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat. Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal. Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal. 

Perjuangan Pas bukan menentang peribadi, tetapi menentang dasar umno. Siapa sahaja yang memimpin umno, Pas akan tentang selagi ia mempertahankan dasar umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianat amanah negara dan rakyat. Pas tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan umno parti yang tidak betul. Pas yakin mereka yang berlatar belakang dalam umno tidak kemana akhirnya. Mereka hanya akan menjadi kupang tembaga, digunakan ketika hendak melawan hujah Pas, itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali Pas ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut.

Pas yakin bahawa umno bukan tempat untuk orang agama berjuang. Sekadar menyebut beberapa nama dalam umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai umno. Mana pergi nama-nama seperti Dr Hamid Osman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (Bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA, Madinah, Phd UK), Dr Yusuf Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Pas merasa hairan ketika kapal umno hendak tenggelam dan penyakit barah umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqin, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang umno bersama-sama dengan umno untuk karam sama. Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan Bn kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersetongkol dengan umno. Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunai. Pas yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

8 comments on “PAS TIDAK GENTAR WALAUPUN BERIBU ORANG AGAMA MASUK UMNO

  1. Setuju Ustaz!.. Jika 40 orang ni mampu BERFUNGSI sebagai ULAMA SEBENAR.. Ia boleh mempercepatkan proses kehancuran UMNO.. tetapi,jika mereka gagal berfungsi.. atau hanya sekadar “jubah solat raya UMNO”.. Ia bakal jd modal dan talian hayat UMNO utk seminit dua.. sebelum mati lemas.

  2. saya ade pandangan lain berkanaan merka2 ini-semua yg masuk adalah golongan muda yg dipanggil salaf dan Dicop wahabi oleh golongan ulama konservatif. mereka masuk umno sebab penarik dan penolak

    faktor penarik- asal mereka adalah pendakwah bebas (dan aku pasti dlm pilihanraya mereka sokong pas).tp sebab dicop wahabi dan tak jadi ahli umno mereka dikenakan tindakan@tak bg tauliah oleh jabtan agama islam negeri selain perlis dan kelantan(sbb takyah tauliah).jadi utk teruskan dakwah dkt masjid direct kpd umum terpaksalah masuk umno. Tgk nanti jais mungkin akan bg tauliah.hehe

    faktor Penolak- bukan shj di negeri bn selain perlis mereka dihalang , dinegeri PR juga dihalang.cth selangor-jais yg halang tp itu tak ada hal lagi.sebab sejarh masjid/surau dekat selangor ni walaupun jais halang tp kalau ajk masjid-atau surau masih panggil bg kuliah, masih lagi boleh jalan. Tp sejak akhir2 ini, ajk masjid sendiri enggan membenarkan mereka bg kuliah lagi. Cth dkt surau aku dkt shah alam-semua yg dicop wahabi tidak lagi dipanggil bg kuliah selepas ajk masjid bertukar tangan kepada golongan konservatif..

    Kesimpulannya: tak masuk umno-mereka takleh bg kuliah. negeri pr atau ajk surau bawah pr pon tolak mereka-takde pilihan lain melainkan masuk umno-at least boleh bg kuliah kat surau lagi..kalau tak langsung tak boleh- sebab golongan konservatif dlm pas pon tolak mereka. dan yg rugi sebenarnya PAS dan PR juga..disebabkan sebilangan golongan konservatif pas tak boleh berbeza pandangan- bg aku memang ade golongan yg dicop wahabi yga agak eksterm-sama juga yg sunni ni-ada gak yg eksterm- tp ramai gak yg pemikiran sederhana.sepatutnya berlapang dada- sekrg org dah lari..sape yg rugi??dan mcm biasa golongan konservatif eksterm peduli ape pasal hal ni-sbb bg mereka, mereka saja yg betul.. aku open yg baik aku ambil semua..:)

  3. Assalaamualaikum…

    Ustaz, saya kurang bersetuju dengan pandangan tuan berkaitan isu ini. Bagi saya komen tuan tidak bersifat strategik untuk kepentingan Islam maupun kepentingan politik PAS. Politik adalah siasah yg penuh muslihat. Pihak yang bertindakbalas secara tidak fikir panjang akan rugi.

    Kita perlu bijak dan licik. Kekuatan pihak lawan mesti diubah menjadi kekuatan kita. Malah dikatakan musibah pun boleh dijadikan tuah. Kata bijakpandai, musuh dalam selimut musuh kita, boleh menjadi sekutu kita. Dalam isu ini, kita boleh jadikan ulama yang masuk UMNO ini sebagai ‘senjata’ kita secara tidak langsung, kalau kita bijak manipulasi keadaan.

    Kebanyakan ulama muda itu adalah sealiran dengan Dr Asri. Kita juga maklum dalam pelbagai isu pandangan Dr Asri agak selari dengan pandangan PAS. Kita boleh manipulasi pandangan mereka untuk memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa pandangan PAS sememang benar sekaligus menyingkirkan pandangan ulamak assobiyyah yang menjadi pendokong UMNO selama ini.

    Saya mencadangkan PAS membuat tindakan luar jangkaan bagi meNEUTRALkan isu ini seperti menjemput ulamak yang baru masuk UMNO ini berceramah/dialog atas pentas PAS. Kita cuma perlu sedia tajuk / isu sesuai agar tidak dimanipulasikan untuk mengenakan PAS. Tetapi elakkan format perdebatan, kerana ia tidak menguntungkan.
    Malah isu-isu fiqh semasa pun dah cukup baik, tidak perlu isu politik kalau kita tidak mahu risiko.

    Ulama-ulama itu tidak punya alasan untuk menolaknya. Apakah mereka menolak dengan alasan anjuran parti politik yang kononnya tidak bebas sedangkan mereka sendiri menyertai politik. Jika mereka menolak, masyarakat akan nampak mereka tidak ikhlas untuk berdakwah seperti yang didakwa, reputasi imej mereka akan jatuh serta merta.

    Jadi saya andaikan mereka akan menerima pelawaan itu sama ada suka atau terpaksa. Apabila PAS mengizinkan ulama-ulama UMNO berceramah atas pentasnya, masyarakat akan nampak betapa jujurnya PAS berjuang untuk agama. Ini juga menunjukkan ulama-ulama itu sebenarnya seolah-olah bersetuju dengan PAS. Sekaligus isu ini berjaya diNEUTRALkan dan PAS juga yang untung!!

    Buat masa ini, pemimpin PAS jangan melatah memberi komen negatif, seolah-olah ‘kerisauan’. Dari segi psikologi, mengatakan ‘tidak risau’ adakalanya sekadar menyedapkan hati yang ‘kerisauan’. Inilah pandangan saya seikhlas hati demi kebaikan survival jemaah Islam PAS. Boleh jadi ia salah…apapun tolonglah pikirkan seikhlas hati jua.

  4. Assalamualaikum Tuan, saya tertarik untuk membaca artikel tuan..bolehkan tuan sertakan bukti/fakta yang ada bagi menguatkan kenyataan dari petikan “Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunai.”agar terbukti kebenarannya,bukan sekadar cakap-cakap kosong.
    Terima kasih tuan..
    assalamualaikum

Tinggalkan komen