PM jangan hanya pandai cabar pelajar, cabar diri sendiri dahulu – Ustaz Idris


Oleh Abu Bakar Rahman

KUALA LUMPUR, (Hrkh) – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jangan hanya pandai menyuruh pelajar bumiputera menghadapi cabaran sedangkan kerajaan pimpinannya tidak pernah lulus dalam cabaran mempersiapkan guru-guru, sistem dan prasarana yang sewajarnya dan boleh digunakan untuk membolehkan para pelajar mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan berkesan, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad.

“Jangan hanya pandai cabar budak-budak, cabar diri dan kerajaan sendiri dahulu. Rakyat tidak perlukan ketam yang mengajar anaknya berjalan dengan betul.

“Sistem tidak pernah disediakan dengan baik, guru-guru tidak terlatih dengan sewajarnya dan peralatan mengajar pula banyak yang tidak berguna sejak hari-hari pertama diberikan, tiba-tiba hendak cabar budak-budak,” kata beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan dasar meritokrasi tetap dikekalkan.

Abdullah mahu para pelajar bumiputera menghadapi cabaran untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Itu akan menjadi satu cabaran. Saya percaya pelajar bumiputera sanggup menghadapi cabaran serta memperbaiki diri dan prestasi mereka,” kata Perdana Menteri.

Sambil menyokong Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII yang menuntut status bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam sistem pelajaran dikembalikan kepada keadaaan sebelum tahun 2002 termasuk menggunakan semula bahasa Melayu dalam pembelajaran subjek Matematik dan Sains, Idris berkata, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mesti ditamatkan segera.

“Hentikanlah perbuatan membunuh masa hadapan orang-orang Melayu. Murid-murid berbangsa Melayu dan di luar bandar sudah ‘mati’ dengan dasar ini, hendak cabar apa lagi?

“Lagi pun, orang yang tidak pernah kelihatan berani menghadapi cabaran lebih baik tidur dari mencabar orang lain,” kata Idris yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.Idris juga mempersoalkan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Sri Hishammuddin Tun Hussein yang menyatakan keputusan sama ada hendak meneruskan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan hanya dibuat pada tahun 2008.

“Kenapa perlu tunggu hingga 2008? Hendak kaji apa lagi sedangkan telah begitu jelas murid-murid Melayu dan di luar bandar sudah ‘mati’ dengan dasar ini.

“Kalau dulu buat dengan tergesa-gesa, enggan mendengar pandagan pakar-pakar bahasa, enggan mendengar pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka malah enggan menggunakan akal fikiran, kenapa sekarang hendak hapus kena tunggu 2008?

“Adakah kerana projek tender bahan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris belum habis lagi? Adakah kerana dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini lebih kepada berniaga antara kroni dan bukan kerana kelemahan bahasa Inggeris di kalangan pelajar?” beliau mempersoalkan.

Idris juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang tetap berkeras untuk mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar khususnya para pelajar Melayu.

“Jika pelajar masih lemah dalam bahasa Inggeris walaupun telah belajar sehingga darjah enam, kerajaan sepatutnya menyelesaikan perkara itu dengan merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bukannya dengan memaksakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” kata Idris.

Beliau mengingatkan Abdullah dan kerajaan bahawa para pelajar bukan “bahan eksperimen macam ayam dedak, kalau tak berjaya buang dalam Sungai Gombak”.

“Hentikanlah perbuatan dan sifat yang berkeras hendak mengaku berjaya walaupun dengan mengeksploitasikan keputusan PMR.

“Pemuda PAS mendapat terlalu banyak pendedahan dari guru-guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang merasa begitu terperanjat dengan keputusan PMR sedangkan markah yang diperolehi murid-murid yang sama dalam peperiksaan percubaan yang dikendalikan oleh sekolah ternyata amat mengerikan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kes saman saman pelajar ke atas Kementerian Pelajaran berhubung isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh Pemuda PAS melalui Lajnah Undang-Undangnya, Idris memberitahu, Rabu lalu kes tersebut telah ditangguhkan lagi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s