MENANG JUGA MERUPAKAN SATU TARBIAH


Apabila seorang telah menjadi ahli Pas bermakna ia telah berbai’ah dengan Pas sebagai sebuah Parti Islam dan Jamaah yang berpegang kepada dasar Islam seperti dalam fasa 3 Perlembagaan Pas. Maka soal kalah menang adalah lumrah dalam perjuangan. Sebenarnya apabila kita memahami bahawa kalah juga merupakan tarbiah, menang juga merupakan satu proses tarbiah. Semua ini jalan untuk mematangkan Pas dan ahlinya. Ada orang yang tidak tahan diuji dengan kekalahan maka ia berundur daripada parti dan tidak mahu bergerak dalam parti lagi kerana tidak tahan diuji.

Justeru itu seperti yang saya sebut tadi bahawa kemenangan juga adalah merupakan satu proses tarbiah secara praktikal, kerana sewaktu menang baru kita tahu bahawa tarbiah adalah tonggak kekuatan dalam parti kita. Tarbiah bukan sahaja cakap di lidah yang tidak bertulang. Mudah kita berbicara, seperti kata-kata Imam Hassan al-Banna “bahawa bercakap lebih mudah daripada buat, buat lebih susah daripada ikhlas dalam amal”

Pencapian Pas dalam PRU 12 ( 8hb Mac 2008) agak memberangsangkan daripada pilihanraya yang sebelumnya. Maka ini adalah merupakan satu tarbiah secara praktikal. Kerana tarbiah ia tidak sahaja bergantung kepada teori semata-mata tetapi memerlukan kepada praktikal. Sekurang-kurangnya mengajar kepada kita nikmat menang dan bagaimana untuk menghadapi cabaran tersebut. Ujian yang menimpa kepada ahli dan jama’ah sebagai tapisan untuk mematangkan jamaah. Supaya yang tinggal adalah mereka yang benar-benar mantap dan teruji. Mereka yang tidak tahan akan berundur secara tersendiri. Apabila kita menang sebagai wakil rakyat, ia menguji kepada kita kerana sewaktu kita berbaiah dengan lafaz sumpah dan berjanji tidak akan mengkhianati perjuangan Pas.

Kemenangan ini menguji kepada kita bahawa kita menghargai sahabat dan jentera parti yang bertungkus lumus. Hebat macam mana seorang itu dengan ketokohan dan kemantapan peribadinya tidak banyak membantu jika jentera parti tidak membantu kemenangannya. Sebab itu sewaktu menang jangan lupa kepada jentera parti yang memberi komitmen kepada parti untuk kemenangan. Mereka sanggup bergadai harta, meninggalkan anak isteri dan kadang-kadang bersabung nyawa bagi mempertahankan maruah parti.

Beberapa insiden petugas Pas yang dipukul oleh samseng BN seperti yang berlaku kepada almarhum Ustaz Osman Talib dalam pilihanraya kecil di Padang Terap Kedah pada tahun 1985. Peristiwa tiga petugas Pas daripada kawasan Hulu Langat Selangor yang dipukul parah di dalam pilihanraya kecil Ijok Selangor. Kebanyakan petugas Pas yang sudah diasuh dan ditarbiah mereka tidak hendak menuntut apa pun daripada kita, tetapi yang mereka pinta ialah penghargaan dan menilai kerja buat mereka.

Jangan pula apabila kita menang maka kita menganggap bahawa kemenangan ini bukan kerana Pas tetapi adalah kerana peribadi. Tonjolkan kita sebagai wakil rakyat Pas, jangan pula mewarwarkan beliau wakil ummah dan bukan wakil rakyat Pas. Sebenarnya kecil hati orang Pas yang bekerja siang malam untuk kemenangan kita, apabila menang kita mendakwa kita bukan wakil rakyat Pas

Waktu memang banyak kawan, waktu kalah tinggal seorang. Ibarat musim durian luruh ramai kawan dan adik beradik, waktu menebas, hanya tinggal seorang diri. Oleh itu kita mesti bijak menilai siapa kawan seperjuangan dan siapa kawan yang rebut peluang. Kawan seperjuangan mereka sanggup tenggelam timbul, kawan yang rebut peluang hanya berada di sisi ketika ketawa dan mendapat nikmat. Mereka yang ditarbiah mengikut manhaj perjuangan Pas insyaAllah mampu melakukannya. Utamakanlah kawan seperjuangan yang ikhlas lebih baik dariapada cerdik tetapi tidak ikhlas, seperti mana wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,

“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.

Waktu menang perlu kepada kesabaran yang tinggi. Telinga mesti tebal, muka mesti tebal. Maklumlah bukan senang hendak menjaga semua hati orang ramai supaya berpuas dengan apa yang kita khidmat. Walau bagaimanapun berilah khidmat yang terbaik untuk rakyat dan jamaah. InsyaAllah mereka yang sudah menerima tarbiah daripada Pas akan mampu untuk menghadapi semua karenah ini.

Waktu menang menguji kesabaran kita dengan kesenangan yang datang kepada kita. Banyak orang boleh bersabar sewaktu susah tetapi tewas ketika senang. Saidina Umar pernah menyebut “kami diuji dengan kesusahan kami boleh sabar dan kami diuji dengan kesenangan kami tidak boleh sabar”. Ingatlah sewaktu begini ujian kesenangan datang. Mereka yang tahan diuji mampu menghadapi suasan ini. Mereka tidak berubah cara hidup, sama seperti sebelum menang. Inilah memerlukan kepada pemahaman dan penghayatan tarbiah yang betul.

Jika kita mampu mengekalkan cara hidup sebelum menang sama selepas daripada kita menang ia akan memberi semangat kepada petugas parti di peringkat bawah yang bertungkus lumus tanpa mengharap upah. Mereka akan memberikan apa sahaja yang berada ditangan mereka untuk kemenangan Islam. Tetapi mereka akan tarik “hand break” secara mengejut jika pemimpin sudah berubah cara hidup mewah, yang berbeza sebelum mereka menang. Ingat! perkara yang paling kita takut menimpa kita ialah apabila ahli dan penyokong setia Pas menjauhkan diri daripada kita dan perjuangan kerana perubahan sikap kita. Ini adalah satu musibah yang besar.

Umno dalam bengkel pemulihan mereka selepas PRU 12, mereka sudah merumuskan salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat ialah jangan menunjukkan kemewahan kerana rakyat akan jauh daripada Umno. InsyaAllah kita mengharapkan dengan tarbiah yang Pas berikan selama ini kepada ahlinya insyaAllah ia akan mampu untuk menyelamatkan parti daripada kemusnahan. Mereka yang memahami dan menghayati konsep tarbiah dan mengikut manhaj jamaah sahaja yang mampu untuk hidup bersama dengan perjuangan Islam InsyaALlah.

Advertisements

2 comments on “MENANG JUGA MERUPAKAN SATU TARBIAH

  1. Salam.
    Saya tertarik dengan tulisan ustaz yang kebetulan memegang porfolio tarbiah PAS. Saya merasakan PAS perlu memantau secara cepat dan aktif perkembangan negeri-negeri yang diterajui oleh PR khususnya di Perak. Pada pengamatan saya, pimpinan atasan Perak langsung tidak mengambil pandangan pimpinan peringkat bawahan dalam pengendalian negeri. Mereka kemungkinan merasakan bahawa mereka cukup bijak dan terpelajar manakala pimpinan Kawasan merupakan pimpinan kampungan sedangkan semua kemenangan hasil kerja keras ahli dan pimpinan peringkat bawahan. Justeru itu, pimpinan PAS Perak sewajarnya ada percampuran antara pimpinan yang turun dari langit dengan pimpinan yang datang dari akar umbi. PJ sendiri kurang mesra dengan pimpinan Kawasan, begitu juga dengan yang lain. Dalam isu pelantikan orang-orang kanan MB sepatutnya meliputi semua Kawasan terutamanya Kawasan yang dimenangi oleh PAS tetapi rata-ratanya dipenuhi oleh pimpinan dan petugas dari Negeri. Sepatutnya Pegawai Khas MB dilantik orang yang berpengalaman yang dapat membantu MB membuat keputusan bukannya mengambil orang yang tidak berkemampuan untuk membantu pentadbiran negeri. Soal balas jasa dan terhutang budi sepatutnya tidak dijadikan keutamaan tetapi kepentingan parti itu lebih menjadi keutamaan. Jangan fikir hanya pimpinan di peringkat negeri sahaja yang kuat bekerja kerana di peingkat Kawasan dan Cawangan juga telah banyak berkorban. Isu pengagihan kerusi juga menunjukkan betapa mudah pimpinan negeri yang tidak berpengalaman ini walaupun pandai dipermain-mainkan oleh PKR. Akhirnya PKR lebih banyak ADUN berbanding dengan PAS sedangkan tidak ada apa yang ada pada PKR kecuali nama. Saya bimbang sekiranya perkara ini tidak diambil perhatian, PAS akan rosak dan Islam semakin sukar untuk didaulatkan.

  2. Assalamualiakum ustaz/
    sebut pasal Tarbiyyah itu,pengajian harian di markas TARBIYYAH PAS GREENWORD telah aktif diadakan sebelum PRU KE 12., malah telah berjalan dengan jayanya selama hampir-hampir 8 tahun Kini didapati tidak aktif lagi.Saya minta penjelasan ustaz selaku pengerusi program pengajian di sana iaitu adakah ianya telah diberhentikan terus atau bagaimana.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s