MUKTAMAR KALI KE 54 BESAR ERTI KEPADA KELANGSUNGAN PERJUANGAN PAS


Muktamar adalah salah satu agenda Pas yang penting. Malahan muktamar adalah syura yang terbesar Pas untuk kelangsungan perjuangan Pas, selain daripada kewujudan Majlis Syura Ulama’. Maka muktamar adalah medan yang terbaik untuk melonjak parti kedepan bagi meletakkan Pas di persada politik tanah air. Pas adalah harapan umat di negara ini, terutamanya orang Islam. Kapal Umno, untuk orang Islam yang terbesar sudah bocor dan hampir tenggelam.

Pas juga mendapat kepercayaan yang penuh di kalangan orang bukan Islam terutama India dan China. Denganm slogan “Pas For All” telah berjaya memecah tembok pemisah antara Pas dengan bukan Islam. Keputusan pilihanraya umum ke 12 adalah satu angkam petunjuk.

Muktamar yang berlangsung di Perak 15-17hb Ogos 2008, selepas Pas bersama dengan Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan. Dengan takdir Allah Datuk Seri Ir Haji Nizar Haji Jamaludin menjadi Menteri Besar. Walau pun Pas hanya menang 6 kerusi, manaklala Umno/Bn 28 kerusi terpaksa duduk di barisan pembangkang. Maka Datuk Seri Tajul dan Umno perak gila talak, ajak Pas bentuk kerajaan, Pas menolak  mentah-mentah tawaran tersebut. Kerana Pas bukan parti yang tidak ada maruah dan harga diri.

Muktamar yang berlangsung selepas PRU 12 begitu significan untuk membincang perancangan dan tindakan Pas, sebagai sebuah parti yang bakal menjadi kerajaan menunggu untuk PRU akan datang. Harapan kita segala apa yang dibincang dalam muktamar tidaklah hanya menjadi plan tanpa tindakan yang rapi. Perlu diingat walaupun kita bersedia untuk menjadi sebuah kerajaan bersama Pakatan Rakyat kita masih tidak bertolak ansur dalam perkara prinsip, iaitu Islam.

Apa pun kerajaan yang akan kita bentuk ianya tidak akan merugikan Islam. Apa guna kalau kita ada kuasa tetapi Islam entah kemana. Pengalaman yang Umno lalui akibat politik tolak ansur yang melampau, sehingga mengenepikan prinsip Islam yang syumul, maka kita sudah kita melihat akibatnya sekarang. Tindakan 9 Menteri bukan Islam berani menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mempertikai artikel 121(1A) pada 18/1/2006 adalah berpunca daripada kesilapan pemimpin Umno. Sedangkan Artikel ini sudah diluluskan sejak tahun 1988.

Kesemuanya berlaku kerana pemimpin Umno hanya memikirkan keuntungan politik jangka pendek, tanpa memikirkan masa depan Islam di negara ini. Umno terlalu bagi muka kepada mereka, sekarang baru pemimpin Umno melalak untuk menunjukkan rasa kebimbangan terhadap masa depan Islam. Pengalam inilah, insyaAllah Pas tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang Umno lakukan.

Oleh itu kita yakin semua perwakilan sedar mereka bersama dengan Pas kerana dasarnya ialah Islam, bukan kerana tuntutan duniawi yang lain. Kalau mereka hendak selain daripada Islam lebih baik bersama dengan Umno.

Fasa 3 dalam Perlembagaan Pas “Dasar PAS ialah Islam”. Dengan fikrah perjuangan inilah ia memberi kesan kepada gerak kerja parti. Hanya orang yang yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh Pas akan terus mara bersama dengan Pas. Mereka yang tidak yakin akan tergelincir dan tertinggal keretaapi dalam perjuangan. Mereka yang yakin tidak akan berdolak dalik dalam perjuangan. Bagi mereka yang tidak yakin mereka akan mencari seribu alasan untuk tidak mahu bersama dengan perjuangan Pas. Berusaha mencari perkara yang remeh temeh dalam Pas. Perkara furu’ yang diperbesarkan, perkara yang cacat yang tidak ketara yang dibisingkan.

Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah satu ajaran yang menyeluruh seperti yang diajar oleh nabi Muhammad SAW. Ia bukan satu tempelan dalam perkara tertentu dan meninggalkan pada perkara tertentu. Jika Rasulullah SAW dan para sahabat berjihad untuk mendaulatkan agama Allah di atas muka bumi maka kita sebagai orang yang kasih kepada baginda mesti melaksanakan arahan ini seperti yang baginda lakukan selama ini.

Nabi kita Muhammad SAW tidak perlu berhijrah jika Islam yang hendak ditegakkan hanya kepada Islam yang sempit seperti yang diajar dan di amalkan di negara ini. Maka PAS berusaha untuk menegakkan Islam berdasarkan realiti di negara ini bagi memastikan matlamat ini tertunai. Maka kerja yang dilakukan oleh PAS ini adalah merupakan satu jihad.

Sekiranya Islam tidak di daulatkan maka selagi itulah Islam dihina dan dipermainkan oleh musuh yang akhirnya fitnah dan kekufuran berkuasa di bumi ini. Penghinaan terhadap apa yang Allah perintah secara qat’ie tidak boleh dilaksanakan kerana Islam berada di bawah kuasa orang lain.

Di Dalam fasa 5. Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Atas asas inilah para perwakilan akan membincangkan dalam muktamar Pas pada kali ini.

Muktamar ialah medan muhasabah yang paling baik untuk memberi teguran dan pandangan yang membina kepada parti. Pemimpin yang berada di atas pentas jangan terasa hati dan emosi dengan kritikan yang bakal dikeluarkan oleh perwakilan. Mereka mesti dengan dada yang terbuka, maklumlah kita sebagai pemimpin tidak nampak kelemahan kita, yang nampak kesalahan kita ialah orang bawahan.

Segala ucapan, pergerakan, kenyataan, tindakan, cara hidup semuanya di perhatikan oleh orang bawahan. Maka kita perlu menerima teguran dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka. Membetulkan segala kelemahan dan kekurangan jika perkara itu benar. Kita tidak mahu segala kritikan tadi tidak memberi apa-apa erti kepada stail kepimpinan kita. Kita yakin pandangan perwakilan adalah ikhlas dan sayang kepada pimpinan dan jamaah.

Perwakilan juga mesti bersedia untuk menerima teguran dan arahan daripada pemimpin. Mereka juga mesti bersedia mendapat penjelasan dan teguran yang membina. Mungkin apa yang dipandang oleh pemimpin adalah perkara yang agak terlindung kepada pengikut bawahan. Maka jangan pula kita tidak bersedia untuk menerima arahan yang diberi oleh pemimpin.

Kita jangan bersikap apabila sudah bercakap dan mengkritik pimpinan kemudian keluar dewan dan tidak mahu mendengar jawapan balik daripada pimpinan terhadap penjelasan yang diberikan. Ini adalah sikap yang kurang beradab dalam jamaah. Ini bukan seorang perwakilan yang baik dan pemimpin parti yang baik.

Muktamar Pas bukan pesta mengampu pemimpin seperti persidangan agung Umno. Muktamar Pas bebas untuk mengkritik daripada atas sampai ke bawah. Berbeza dengan Umno, kerana Umno demokrasi terpimpin. Hendak berucap pun masih kena pimpin. Ada perkara yang boleh bercakap dan ada perkara yang tidak boleh bercakap.

Muktamar Pas bebas mengkritik kepada kepimpinan parti, kerana mereka sudah teruji. Sebab itu dalam muktamar Pas kalau orang tidak biasa agak terkejut dengan suasana yang berlaku melihat pemimpin di kritik ada pedas ada yang manis. Kita mengharapkan para perwakilan membuat home work untuk berucap. Biarlah ucapan yang tersusun dan bahasa yang teratur dengan penuh fakta. Perbahasan saudara ditonton oleh pemerhati Pas seluruh dunia melalui dunia IT.

Apa yang perwakilan ucap semuanya dinilai oleh perwakilan dan pemerhati tahap kematangan kita berhujah dan memberi
pandangan dan kritikan pada pimpinan dan parti. Biarlah jangan fakta yang berulang sehingga menjemukan sidang muktamar. Sebenarnya waktu perbahasan inilah ia mengasah bakat kepimpinan dan teknik berpidato yang berkesan. Sebahagian besar dari kalangan pimpinan Pas Pusat diangkat oleh muktamar apabila mereka menonjul dalam setiap kali bahas ucapan dasar.

Sudah barang pasti perwakilan akan menyentuh isu muqabalah dengan Umno dan semua pihak di negara ini. Saya menjangka ia akan menjadi topik yang hangat. Ada yang pro dan kontra, yang penting semua perwakilan berbahas dengan nada untuk sayang kepada parti. Tidak ada secebis perasaan untuk meruntuhkan parti yang kita dokong selama ini.

Kenyataan Presiden dari awal lagi sudah menjelaskan bahawa tidak ada niat langsung untuk berkongsi kuasa dengan Umno, kerana kita menang besar atas semangat rakyat untuk tolak BN. Tidak pernah Pas mengkhianat perjanjian dengan mana-mana pihak di negara ini. Kita berpegang dengan prinsip yang diajar oleh nabi SAW “Orang Islam berpegang dengan janjinya”. Walau bagaimanapun Pas tidak pernah mengeluarkan arahan supaya perwakilan tidak membahas isu ini. Inilah hebatnya Pas yang begitu demokrasi.

Muktamar yang berlangsung setelah 5 bulan selepas PRU 12, dan kita telah membuat kejutan besar kepada kuasa BN yang angkuh. Mereka anggap selama ini, mustahil mereka boleh ditewaskan. Dengan kehendak Allah keadaan berlaku sebaliknya.

Maka sudah tentu perwakilan akan membangkitkan dan memperingatkan kepada mereka yang menang samaada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, lebih-lebih lagi mereka yang memimpin kerajaan Pakatan Rakyat supaya menjaga amanah dengan baik. Mereka adalah cerminan jamaah dan menjadi kayu ukur untuk Pas akan bergerak dengan lebih maju kehadapan. Mereka mesti membina keyakinan rakyat bahawa kita adalah pemegang amanah umat di negara ini. Peliharalah diri dan akhlak sebagai seorang pemimpin Pas.

Biarlah utamakan parti daripada peribadi. Utamakan program parti daripada program negeri. Jadilah konsep parti menguasai kerajaan, bukan kerajaan yang menguasai parti. Kita perlu sedar kita menang
kerana kewujudan parti dan ahli parti yang berusaha untuk memenangkan kita. Jangan mengangap bahawa kita menang kerana populariti diri bukan kerana parti. Jangan kecilkan hati jentera, bimbang kalau mereka menarik “hand break” secara mengejut dan tidak mahu bekerja lagi untuk pada masa akan datang. Apa hal pun utamakan jentera yang bertungkus lumus sebelum pilihanraya dan waktu pilihanraya.

Mereka yang baru muncul selepas pilihanraya kena letak nombor curut dalam semua hal. Jangan waktu menang kita mengatakan apa kelulusan awak, semasa pilihanraya kita tidak pernah tanya apa sijil awak. Kata-kata inilah yang menyebabkan ajal kemenangan kita pendek. Ucapan ini seolah-olah kita sudah lupa daratan, lupa bahawa kita berhajat kembali kepada mereka dalam PRU 13. Saya tidak bimbang musuh marah, yang paling saya bimbang ialah apabila jentera dan ahli marah.

Jangan sampai kata-kata yang diucapkan oleh penyokong kita “jaga pilihanraya akan datang, kamu tahulah akibatnya”. Kalau inilah ucapan yang dikeluarkan oleh penyokong tegar kita, maka susah kita hendak berubat. Kerana kita tidak boleh pujuk mereka dengan benda kerana kita bukan parti yang tegak atas benda atau projek. Selama ini mereka berkhidmat kerana iman dan keikhlasan dalam diri mereka. Oleh itu jangan kita rosakkan keikhlasan ahli kita akibat tindak tanduk kita.

Selamat bermuktamar.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s