Ikhlas Teras Kejayaan Pas


 
Ikhlas Teras Kejayaan Pas
Ustaz Idris Ahmad

7/7/11
 
Tajuk yang senang ditulis, sukar untuk diamalkan dalam kehidupan seharian, terutama kehidupan berjamaah. Syaitan sering menggoda supaya sifat ini hilang daripada jiwa amilin. Sifat ikhlas penentu amal kita diterima oleh Allah atau tidak. Firman Allah SWT “Pada hal mereka hanya diperintah menyembah Allah dengan ikhlas semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus” (Al-Bayyinah, 98:5)
 
Untuk hendak memupuk sifat ikhlas  dalam diri ia memerlukan proses pentarbiahan yang berterusan. Ia tidak boleh diperolehi dengan secara irtijal (spontan) sahaja. Mungkin permulaan gerak langkah kita dengan tidak ikhlas, kemudian baru datang keikhlasan. Contohnya amalan solat yang kita lakukan sekarang, mungkin pada mulanya kerana takut kepada ayah, maka lama kelamaan ia sudah sebati tanpa disuruh. Begitu juga kerja jamaah mungkin pada peringkat awal kerana malu kepada orang yang kita segani, kemudian ia sudah bertapak semangat ikhlas di dalam diri.
 
Jamaah tidak boleh bergerak seandainya tidak ada semangat ikhlas di kalangan anggota dan pimpinan. Semangat ikhlas inilah yang berjaya dilahirkan dalam tarbiah Pas sehingga mereka berjuang bukan kerana individu tetapi kerana Islam dan jamaah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Pas telah berjaya menanamkan kefahaman Islam sehingga melahirkan ahli yang ikhlas kepada Allah SWT dalam perjuangan. Inilah kejayaan tarbiah yang dianjurkan oleh Pas. Tidak hairanlah kepada kita beberapa orang pemimpin tertinggi  Pas yang telah mengkhianat perjuangan namun ahli Pas tidak pernah mundur walaupun setapak, malahan ini dianggap sebahagian daripada tarbiah untuk melihat sejauhmanakah mereka yang telah tahan diuji semasa dalam perjuangan. Pemimpin Pas yang keluar daripada Pas hidup menderita apabila mereka melihat sejak ketiadaan mereka Pas semakin berkembang bukan semakin lemah. Ini yang menambahkan barah perasaan dan mental di dalam diri mereka. Fanatiknya ahli-ahli Pas kerana perjuangan dan dasar Pas.
 
Seperti mana wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,
 
“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa,  mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya  lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada  diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.
 
Justeru itu jika di kalangan ahli yang menyertai Pas mempunyai hajat yang lain, orang ini tidak kekal lama dalam perjuangan. Diperingkat ahli, keikhlasan memang tidak dapat dinafikan kerana merekalah tenaga penggerak Pas. Ahli Pas yang datang daripada berbagai peringkat dan darjat. Ahli-ahli Pas ada yang berkelulusan Phd hinggalah yang buta huruf. Mereka menyertai Pas bukan hendak dapat benda tetapi kerana cintakan Islam. Mereka sanggup menerima risiko yang berat daripada pihak yang berkuasa seperti tidak diberikan sabsidi, anak tidak dapat biasiswa, dipotong bantuan kebajikan. Semuanya mereka sanggup menerima  kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Kehadiran mereka dalam program ceramah atau program parti tanpa diupah dan disuruh, sanggup untuk berbelanja berbelas-belas ringgit semata-mata untuk mendengar ucapan pemimipin mereka yang dicintai dan menderma kepada perjuangan  walau hidup mereka kais pagi makan pagi.
 

By ustazidrisahmad Posted in Politik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s