Berkorban Atau Terkorban


Berkorban Atau Terkorban
Idris Ahmad
10/11/11
Syukur kepada Allah SWT umat Islam di Malaysia telah  berjaya melaksanakan ibadah korban pada 6 hingga 9 November 2011. Banyak binatang yang dikorban sebagai tanda penghayatan terhadap sunnah  Nabi Ibrahim AS. Sebagaimana nabi Muhammad SAW bersabda ” Apabila sahabat bertanya “Apakah yang dimaksudkan korban. Maka  nabi Muhammad SAW bersabda ” Korban ialah sunnah bapa kamu nabi Ibrahim AS” Sahabat bertanya “Apa yang kami perolehi daripada korban” Nabi bersabda “Setiap bulu binatang yang kamu korbankan akan memperolehi pahala”

Kita mengharapkan ibadah korban diterima Allah SWT. Orang yang berkorban perlu perbetulkan niat bahawa mereka melaksanakan ibadah korban bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang ramai atau untuk berbangga siapa yang banyak menyembelih binantang korban. Jika ini yang berlaku maka tidak ada apa-apa nilai di sisi Allah SWT. Sebagai mana firman Allah SWT “Tidak akan sampai daging dan darah binatang korban kepada Allah SWT, tetapi yang akan sampai kepada Allah ketaqwaan kepada Allah SWT” (Surah al-Haj 37)

Ibadah korban ialah ibadah tauhid. Sebagaimana tauhidnya nabi Ibrahim ketika diarahkan oleh Allah SWT supaya menyembelih anak beliau nabi Ismail AS. Jika baginda tidak menyerahkan sepenuhnya diri kepada Allah maka baginda tidak akan menyembelihkan anaknya nabi Ismail AS. Apabila ini perintah tauhid maka baginda laksanakan tanpa memperdulikan  gangguan yang datang untuk menghalang kerjanya.

Perlu kita ambil iktibar daripada pengorbanan nabi Ibrahim, Siti Hajar dan nabi Ismail AS supaya kita benar-benar menjadi hamba yang berkorban untuk Islam. Tidak ada makna jika kita tidak ambil iktibar daripada apa yang ditunjukkan oleh keluarga nabi Ibrahim AS.Sekiranya kita tidak berkorban maka Islam, ekonomi, politik dan sosial akan terkorban.

Islam akan terkorban apabila kita gagal membela Islam daripada dicerca oleh manusia yang mengaku diri sebagai Islam . Mereka sanggup menghina hukum Allah kerana tidak ramai yang sanggup menjelaskan hukum ini sehingga ramai di kalangan mereka menjadi jahil dan sanggup memperlakukan apa sahaja kepada agama. Apabila orang yang berilmu menyembunyikan ilmu dan takut kepada penguasa maka inilah akibatnya. Apabila ini berlaku imej Islam menjadi rosak di pandangan orang bukan Islam. Tidak pernah kita dengar penganut hindu, kristian, budha menghina dan tidak percaya kepada agama mereka. Tetapi kita akan dengar bagaimana orang Islam sendiri memperkecilkan ajaran Islam.

Politik terkorban apabila kita tidak berkorban. Kepimpinan negara akan dipegang oleh mereka mengkhianat amanah rakyat. Pemimpin dilantik bukan ahli yang amanah, malahan menganggap bahawa ini adalah batu loncatan untuk mengumpul kekayaan. Mereka yang memimpin tidak mementingkan soal moral dan akhlak. Menggunakan apa cara untuk naik menjadi pemimpin samaada rasuah atau menipu. Mereka menjadi pemimpin bukan untuk rakyat, tetapi menjadi wakil taukeh-taukeh yang memelihara mereka semasa hendak menang di dalam pemilihan parti atau pilihanraya umum. Mereka merasakan jawatan adalah satu kemuliaan bukan amanah.

Ekonomi juga terkorban apabila kita tidak berani berkorban. Laporan audit 2010 menyebabkan dada kita merasa sesak untuk bernafas. Walaupun setiap tahun teguran Ketua Audit Negara diberikan tidak ada penambah baikan. Walaupun Perdana Menteri sering beretorik dengan program transformasinya, tetapi laporan audit adalah jawapan yang paling tepat untuk rakyat membuat penilaian samaada ia retorik atau realiti. Pemimpin tidak merasa segan silu dengan teguran laporan Ketua Audit  Negara, dan kita yakin belanjawan 2012 yang baru dibentang juga akan mengalami perkara yang sama jika kita membaca laporan Ketua Audit Negara pada tahun hadapan.

Akhlak juga terkorban apabila kita tidak bersedia untuk berkorban. Semua ibu bapa yang prihatin resah mengenai akhlak anak mereka. Ia bukan sahaja menimpa kepada ibu bapa yang jahil, malahan menimpa kepada ibu bapa yang soleh. Walaupun kita adalah ibu bapa yang bertanggungjawab untuk memberi pendidikan Islam yang sempurna kepada anak-anak, namun suasana persekitaran lebih kuat mempengaruhi pembentukan syaksiah rupa diri anak-anak kita kerana kegagalan pemimpin negara yang tidak berminat mewujudkan suasana keIslaman di negara ini. Kesannya kita lihat daripada laporan  Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Alwi Ibrahim melaporkan dalam masa 5 tahun (2005-2009)  terdapat 74,723 anak luar nikah dari kalangan orang Melayu.
 
Perlu kita berkorban, jika kita sayang generasi masa depan. Pengorbanan kita bukan untuk masa kita tetapi ialah masa depan anak-anak kita yang akan hidup separuh abad lagi. Jangan kita biarkan anak-anak kita menderita pada masa akan datang. Sudah cukuplah apa yang kita alami sekarang ini. Sebelum parah maka perlu kita berubah.

By ustazidrisahmad Posted in Politik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s