Dunia Tidak Laku Di Akhirat.


Dunia Tidak Laku Di Akhirat.

 Idris Hj Ahmad

31/5/12

Semua makhluk yang  hidup akan mati dan mati pula biarlah dengan Islam. Ini adalah suatu perintah dari Allah SWT terhadap hambanya supaya mati di dalam agama Islam. Sebab agama Islam itu ialah agama yang diakui Allah dan diakui sebagai agama yang benar di dalam kitabnya al-Quran. Allah tidak menerima selain daripada Islam. Firman Allah SWT

“Sesungguhnya Agama yang diredhai oleh Allah ialah Islam” (al-Imran:19)

Firman Allah yang lain

“Barangsiapa yang menganut agama selain daripada Islam, maka tidaklah akan diterima darinya , di hari akhirat kelak ia tergolong di kalangan orang yang rugi” (Al-Imran 85)

 

Memanglah manusia tidak berkuasa untuk mematikan  dirinya di dalam Islam. Tetapi Allah telah meluangkan kepada manusia. Sekiranya ia inginkan yang demikian maka hendaklah ia menjalankan perintah yang diwajibkan keatas dirinya serta menurut perintah Allah SWT. Memilih mati di dalam Islam adalah cita-cita manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT. Ia hendaklah membenci mati di  dalam kepercayaan selain kepercayaan Islam. Kita mesti terus menerus berdoa dan memohon dengan rendah diri dan meminta dari Allah SWT agar dia mewafatkan sebagai seorang Muslim.

Dengan sebab itulah Allah mensifatkan para Nabi dan orang solihin yang sentiasa berusaha untuk menjadi hamba yang mati di dalam keadaan Islam.

Firman Allah SWT

“Engkaulah (Allah) pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku sebagai seorang Muslim dan kumpulkanlah aku bersama-sama orang-orang Soleh” (Yusuf:101).

 

Allah juga menceritakan pula tentang Nabi Ibrahim AS, kemudian nabi Yaakob AS yang masing-masing mereka mewasiatkan kepada anak cucunya supaya mati di dalam agama Islam.

Seperti Firman Allah SWT

“Dan telah berwasiat pula Nabi Ibrahim kepada anak cucunya, dan juga Nabi Yaakob hai anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untuk kamu, sebab itu janganlah sampai kamu mati melainkan di dalam agama Islam” (Al-Baqarah, 132)

 

Wajib atas setiap manusia berusaha untuk memelihara keIslamannya dan menguatkan dengan mengerjakan segala perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Sebab orang yang melalaikan perintah Allah SWT itu akan terdedah dirinya untuk mati di dalam kepercayaan yang bukan Islam. Sesungguhnya melalaikan perintah Allah itu adalah bukti yang terang atas kecuaian dalam menunaikan hak-hak agama dan mengambil lewa mengenai perkara ini.

Wajib keatas setiap Muslim bercita-cita untuk mati di dalam Islam dengan meninggalkan kejahatan dan melakukan dosa, kerana yang demikian itu melemahkan Islam dan menjerumus kepada mati yang boleh menderhakai dan melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Sebagaimana Firman Allah SWT

“Kemudian azab yang lebih buruk adalah kesudahan bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka selalu merperolok-olokkannya” (Al-Rum 30:10)

 Ayat ini memberi peringatan kepada manusia supaya melatihkan diri untuk menjunjung segala perintah Allah dan meninggalkan maksiat agar kita tidak terjerumus kepada maksiat dan mati di dalam keadaan derhaka kepada Allah SWT. Seandainya kita  terjerumus kepada perkara ini maka segera bertaubat kepada Allah SWT.

 

Sebagai seorang yang beriman wajib kita memohon agar Allah SWT mematikan di dalam husnul khatimah. Ia berlawanan dengan syaitan yang sentiasa menyeru  manusia kepada mati di dalam jalan yang terkutuk. Syaitan akan mencari jalan berbagai cara supaya manusia mati di dalam keadaan tidak beriman kepada Allah

 

Nikmat Islam adalah nikmat yang paling agung. Tidak ada makna hidup jika kita mati di dalam keadaan kufur kepada Allah SWT. Tidak ada makna jika Allah berikan dunia dan isinya sedangkan ia tidak memberi kepada kita Iman dan Islam. Kerana dunia akan binasa, sedangkan Islam kekal sampai hari akhirat. Dunia tidak ada harga selepas mati tetapi Islam laku sehingga hari akhirat.

Oleh itu kita mesti merasa bimbang mati di dalam su’al- khatimah kerana tidak mustahil Allah akan mematikan hambanya  di dalam keadaan buruk , jika hambanya sendiri berkelakuan dan bertindak sedemikian rupa.

Islam perlu dipupuk dan dibaja dengan amal soleh, jika tidak ia akan mati. Amal soleh diibaratkan baja kepada hamba yang mengaku dirinya sebagai seorang yang beriman.

Memang banyak cabaran kepada orang yang beriman ketika hendak menghayati Islam dan istiqamah di atas jalan Allah. Syaitan yang terdiri daripada manusia dan jin tidak pernah pencen untuk menarik sokongan supaya mengikut jalannya. Godaan yang datang samaada di dalam bentuk benda atau nafsu sentiasa berjalan terus. Oleh itu kita mesti pastikan diri kita berada di dalam lingkungan rahmat Allah SWT. Ikatkanlah diri kita bersama dengan majlis ilmu. Rapatkanlah dengan ulamak yang muttaqin kerana mereka adalah penyuluh jalan kebenaran untuk melawan kebatilan. Jangan liarkan diri daripada jamaah kerana ahlinya ialah orang yang sentiasa mengigatkan kebenaran dan memberi peringatan supaya menjauhkan diri daripada jalan maksiat. 

By ustazidrisahmad Posted in Agama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s