Ahli Pas, Teliti Arahan Al-Quran.


Ahli Pas, Teliti Arahan Al-Quran.
Idris Hj Ahmad
9/8/12

Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW. Ia adalah mukjizat yang kekal hingga hari qiamat. Quran sahaja yang masih kekal dan segar, segala mukjizat nabi SAW yang lain, kita tidak sempat melihat. Tetapi al-Quran ia kekal sampai hari kiamat. Kerana ini adalah janji Allah di dalam al-Quran.
Maksud firman Allah SWT
“Sesungguhnya kami telah turunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya kami yang memeliharanya”.

Semoga Allah menggolongkan kita sebagai pejuang Islam berminat untuk membaca al-Quran dan meneliti kandungannya. Kemudian digolongkan pula sebagai golongan yang memelihara al-Quran dan Al Quran pula memelihara kita. Kita mengharapkan Allah menjadikan kita di kalangan orang yang mendirikan hukum Allah.
Ketika kita membaca al-Quran kita membayangkan ia adalah panduan hidup kita. Ia juga merupakan perlembagaan parti kita. Sudah tentu kita berbangga kerana yang di baca, telah menjadi rujukan kepada perjuangan kita.

Membaca al-Quran ganjarannya besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT
“Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian dari rezki yang kami kurniakan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi, agar Tuhan mencukupkan pahala mereka serta menambahkan mereka dari kurnianya, sesungguhnya dia Maha pengampun dan pembalas” (Surah Fatir, 29-30)

Al-Quran menjadi wajib kepada ahli Pas, terutama yang bertaraf pemimpin dari semua peringkat. Tidak layak kita menamakan diri kita sebagai pejuang Islam jika al-Quran kita tidak membacanya. Sebaik-baiknya al-Quran mesti dibaca disetiap hari, jangan lebih daripada tiga hari kita tidak membaca al-Quran. Telahan lagi di bulan Ramadan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran. Kerana al-Quran diturunkan daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia secara sekali gus di dalam bulan Ramadan dan diturunkan kepada nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun. Tiga belas tahun di Makkah, ayat yang ditekankan ialah ayat Aqidah. Manakala di Madinah selama 10 tahun ayat yang berhubung kait dengan susun atur kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang membaca al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, dicatat baginya satu kebajikan. Dan setiap kebajikan dilipat gandakan menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”
Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat di akhirat. Sebagai sabda Rasulullah SAW
“Bacalah al-Quran, kelak dihari qiamat ia akan mensyafaatkan tuannya”
Berkata Saidina Ali karramallahuwajhah siapa yang membaca al-Quran sedang ia berdiri di dalam sembahyang, maka baginya atas setiap huruf seratus kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia duduk di dalam sembahyang , maka atas setiap huruf lima puluh kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia berada di luar sembahyang dalam keadaan bersuci, maka baginya atas setiap huruf dua puluh lima kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia berada di dalam keadaan tiada bersuci , maka baginya atas setiap huruf sepuluh kebajikan.

Sebagai pejuang agama Allah mesti ada kelainan daripada orang lain ketika mengadap al-Quran. Kita memaca, bukan sekadar membaca, tetapi mesti teliti dengan baik dan menyerap di dalam hati. Sedikit yang kita membaca sambil merenung dan memahami maksudnya adalah lebih baik daripada membaca tanpa merenung dan memahaminya.
Apabila kita membaca al-Quran, maka hendaklah kita teliti, fahamkan dan renungkan tiap-tiap ayat al-Quran. Perhatikan setiap ayat yang mengandungi perintah Allah, atau larangannya, janjinya dan ancamannya. Selepas itu kita renungkan diri, keluarga kita adakah kita patuh dengan perintah itu dan menjauhi larangannya pula.
Jika kita membaca ayat berhubung dengan hijab dan pakaian seorang muslimah di dalam surah al-Nur. Kita segera muhasabah, adakah isteri dan anak-anak kita membalut aurat atau menutup aurat. Kalau hanya balut aurat segera betulkan keadaan supaya tidak mendatangkan fitnah kepada Pas, kerana ini adalah pandangan pertama orang kepada ahli dan pimpinan Pas. Tidak ada makna jika kita gagal menyerap ayat ini di dalam rumah tangga kita, walaupun kita bergegar untuk menegakkan al-Quran, sedangkan di dalam rumah tangga kita gagal menyerapkan penghayatan al-Quran.
Adakah kita percaya dan yakin dengan janji tuhan serta ancamannya? Jika memang ada , maka segeralah memuji Allah dan mensyukurinya, kerana yang demikian itu berlaku dengan taufik dan pertolongannya. Oleh itu hendaklah kita istiqamah melakukannya tanpa jemu.

Tetapi jika kita merasakan diri kita tidak patuh kepada perintah Allah dan tidak menjauhi larangannya, maka segeralah kita memohon keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepadanya kerana kesalahan kita. Sesudah itu hendaklah berazam untuk mematuhi perintahnya serta menjauhi larangannya.

Jika kita membaca ayat-ayat yang menyebut tentang musuh-musuh Allah dari kaum yang tidak beriman dengan menyebut sifat yang buruk itu, segera kita muhasabah diri kita, adakah kita tergolong dengan ciri yang disebut. Jika ada, terus bertaubat kepada Allah.
Berkata Imam Hasan Basri Rahimahullah, orang yang terdahulu dari kamu menganggap bahawa lambaran al-Quran sebagai surah yang dikirim Allah kepada mereka, maka mereka pun cuba menelitinya di waktu malam supaya mereka dapat menjalankan perintahnya di waktu siang kelak.

Membesarkan Allah serta berlaku khusyuk dan khudhuk ketika membaca al-Quran adalah sifat orang mukmin yang sebenarnya. Manakala sifat lalai, keras hati, sentiasa lupa dan kurang memerhatikan ketika membaca al-Quran adalah sifat orang yang membelakangkan al-Quran, keyakinannya hampir tidak ada, hatinya kosong dari hakikat mengenal Allah dan mengenal kalam Allah.
Seperti firaman Allah SWT
“Tidakkah mereka mahu memperhatikan isi al-Quran, ataukah hati mereka terkunci” (Muhammad, 24)

Mudah-mudahan Allah memelihara kita sekalian dari kelakuan tersebut, dan dia melindungi kita dari semua jenis bala dan bahaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s