Kemerdekaan Adalah Tuntutan Islam.


Kemerdekaan Adalah Tuntutan Islam.
Idris Hj Ahmad
30/8/12
Haram kita tunduk kepada penjajah, kerana penjajahan selari dengan kezaliman. Tidak boleh sama sekali kita tunduk dan patuh kepada penjajah dan redha apa yang dilakukan oleh penjajah. Kedatangan Islam ialah ialah untuk membebaskan manusia daripada belenggu manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ucapan Rubai bin Amir kepada Rustam adalah kayu ukur kita ketika memperkatakan konsep kemerdekaan.
Rustam bertanya kepada beliau “Apa tujuan mereka datang ?

Dengan penuh izzah (bangga) Rubai menjawab

dengan kata-kata yang masyhur: “Allah telah mengirim kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, dan dari sempitnya dunia menuju keluasan akhirat, dari penyimpangan agama-agama yang ada menuju keadilan Islam”.

Sebab itu di negara umat Islam majoriti, perjuangan kemerdekaan dipelopori oleh orang-agama kerana mereka lebih memahami erti kemerdekaan dan arahan agama kepada mereka. Ia membabitkan dosa dan pahala. Berkompromi dengan penjajah dan membiarkan negara,agama dijajah adalah merupakan kemurkaan Allah SWT.

Atas kesedaran ini ulamak membangkitkan kesedaran beragama di kalangan rakyat untuk menentang penjajah. Berada di bawah ketiak penjajah bermakna membiarkan bangsa dan tanah air berada dibelenggu kezaliman penjajah, perbuatan ini adalah haram. Islam mengajar penganutnya tidak boleh sama sekali berkompromi dengan kezaliman dan penindasan. Firman Allah SWT bermaksud

“Jangan kamu cenderung kepada kezaliman, nanti akan disambar oleh api neraka” (Surah Hud 11:113)

Penjajah adalah lambang kerakusan di dalam sebuah negara. Ia memeras ugut rakyat jelata dan menghisap segala hasil bumi.

Tokoh-tokoh awal yang menggerakkan kemerdekaan negara yang terpahat di sejarah perjuangan melawan penjajah di peringkat awal ialah mereka yang terdidik dengan suasana keagamaan dan roh jihad.

Tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman dan lain-lain adalah tokoh yang bangkit menghalau penjajah walaupun dengan kapasiti yang kecil tetapi telah memberi kesan kepada penjajah di negara ini.

Kemunculan golongan reformis (Islah) yang pulang daripada Timur Tengah telah merancakkan lagi kesedaran berpolitik dan bernegara. Nama-nama seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Tahir Jalaludin yang mendapat aspirasi daripada Syeikh Mohamad Abduh di Mesir telah menggerakkan kesedaran untuk menuntut kemerdekaan melalui gerakan organisasi yang tersusun di negara ini.

Slogan yang mereka uar-uarkan kepada masyarakat ialah, bangsa Melayu maju jika ia berpegang kepada Islam yang syumul. Melayu tidak gagah dan perkasa jika meninggalkan Islam.

Daya usaha merekalah, timbul kesedaran berorganisasi. Munculnya Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Umno (1946), Hizbul Muslimin (1948) dan Parti Islam Semalaysia (1951).

Memang jelas mereka yang memahami Islam yang sebenar tidak akan berkompromi dengan penjajah dan anak didik penjajah. Sebab itu penjajah cukup takut dengan ulamak seperti ini kerana mereka bukan sahaja mengajar tetapi juga meniupkan semangat perjuangan kepada anak muridnya. Ini yang menjadi kerisauan kepada penjajah.

Apa erti kemerdekaan jika agama masih dikongkong oleh pihak yang berkuasa. Agama menjadi dagang di negeri sendiri. 55 tahun merdeka masjid masih berkunci dan tidak berfungsi, masjid mati sebelum orang mati kerana ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya.

Kecantikan Islam tidak dapat dijelmakan dalam bentuk yang praktikal, ia hanya terdapat di dalam liapatan sejarah dan kitab feqah sahaja.

Oleh itu menuntut kepada kita mendapat kemerdekaan kedua iaitu untuk menuntuk kebebasan kepada penganutnya untuk menghayati Islam yang sebenar. Kini Islam berada di kandang orang salah. Islam dihukum bukan menghukum. Islam menjadi tetamu, bukan sebagai tuan rumah.

Tidak ada makna tangan kanan melaungkan kemerdekaan, sedangkan tangan kiri yang menekan rakyat supaya jangan bersuara lebih dariapda kehendak kerajaan. Kebebasan rakyat untuk bersuara disekat atas alasan keselamatan negara. Walaupun realitinya kerana keselamatan kuasa BN yang memerintah pada hari ini.

Amat malang kepada kita, ketika negara menyambut kemerdekaan kerajaan mengetatkan kebebasan untuk bersuara dan bebas mendapat maklumat. Kerajaan memperkenalkan Seksyen 114A Akta Keterangan yang menjadi ancaman Kepada Rakyat khususnya

kepada warga siber dan ia bertentangan dengan hak setiap individu untuk di anggap tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahan.

Sebaliknya seksyen 114A Akta Keterangan ini lebih bersifat prejudis dengan meletakkan beban pembuktian kepada orang yang kena tuduh dan bukan kepada penuduh iaitu pihak berkuasa.

Tidak cukup lagikah kerajaan dengan Akta OSA, Akta Hasutan, Akta Penerbitan untuk mengongkong rakyat. Ini bukan bermakna tidak perlu ada kawalan dan mengambil tindakan kepada penyebar fitnah. Akta ini orang yang dituduh terpaksa membuktikan yang beliau tidak bersalah. Sudah tentu ramai akan terperangkap apabila ruangan komen Face Book kita ditulis dalam bentuk fitnah dan provokasi yang bakan didakwa ialah pemilik FB. Kesemua ini memerlukan kos untuk pemilik FB membuktikan mereka tidak bersalah. Sedangkan mungkin beliau tidak melakukan. Persoalannya di manakah ongkos yang perlu di biyai di mahkamah. Sebenarnya ini adalah satu usaha untuk menakutkan rakyat terutama kerajaan yang BN menghadapi PRU 13. Jika PRU 12 kerajaan diancam dengan blog dan portal yang mengimbangi dan menjawab pembohongan media kerajaan. PRU akan datang, kerajaan gerun menghadapi fenomena face book, yang begitu pantas menyiarkan maklumat dan menjawab tuduhan dan fitnah kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya kerajaan BN yang sama dengan mazhab mana-mana diktator dunia yang takut menghadapi kebangkitan rakyat, akan menggunakan kuasa untuk menjajah otak rakyat supaya jangan menerima selaian daripada resipi BN. Walau bagaimana pun kerajaan BN perlu ingat, mereka boleh memaksa kuda pergi minum air, tetapi tidak boleh paksa kuda minum air.

By ustazidrisahmad Posted in Politik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s