TARBIAH MENGATASI KECICIRAN  DALAM PAS

TARBIAH MENGATASI KECICIRAN  DALAM PAS

Idris Haji Ahmad

16/2/12

Gejala keguguran adalah satu fenomena yang biasa dan berulang-ulang berlaku di dalam Jamaah Islam. Kita boleh lihat di dalam gerakan Islam di mana-mana sahaja akan berlaku fenomena ini, dan tidak terkecuali kepada Pas. Nama-nama yang hebat tetapi hilang kemudiannya, pada hal mereka adalah orang yang cergas, bekerja dan bertanggungjawab pada permulaannya.

Ada di kalangan mereka yang meninggalkan jamaah, ada yang tawaquf, ada yang keluar dan mengasaskan jamaah baru dan ada pula yang menggabung dengan jamaah lain dan ada yang bergabung dengan parti musuh.

Walaupun ada orang yang menganggap bahawa gejala keciciran ini sebagai satu penapisan  dan tidak memberi apa-apa kesan kepada jamaah dan ahli. Namun di sana ada juga berlakunya gejala keciciran ini mendatangkan kesan yang negatif kepada jamaah. Sungguh pun begitu ia melambatkan perjuangan dan mengganggu perancangan jamaah.

Selalunya gejala keguguran berlaku ialah orang yang berada di barisan hadapan (pemimpin) dan ada sedikit yang berlaku di peringkat ahli biasa.

Menurut al-Marhum Ustaz Fathi Yakan gejala keciciran banyak memberi akibat buruk kepada perjuangan Islam antaranya;

a.Menyebabkan tersebarnya fitnah serta meracuni gerakan yang boleh meruntuh dan merugikan Islam dan dakwah.

b.Terbuka rahsia-rahsia jamaah. c.Melemahkan gerakan dan menarik musuh untuk menghancurkannya.

d.Menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap gerakan. Jika ini berlaku segala rancangan dan perjalanan  gerakan akan terhenti.

 

Di sana terdapat beberapa faktor berlakunya gejala keciciran antaranya kerana sebab jamaah dan sebab sikap anggota jamaah. Walaupun di sana banyak faktor-faktor penyumbang kepada gejala keciciran namun kelemahan sudut perlaksanaan tarbiah adalah merupakan faktor yang besar. Timbul persoalan, gejala keciciran ini berlaku di kalangan orang yang mengendalikan tarbiah.  Dekat mana yang tidak betul? Tarbiah lemahkah? Tarbiah tidak berkesankah? Jika orang biasa boleh dimaafkan. Masalahnya terjadi kepada mereka yang berada di hiraki parti yang tinggi.

 

Untuk menjawab kemusykilan ini kita melihat bagaimana Allah SAW menyatakan kepada seorang Badwi yang mengaku dirinya beriman

“Orang-orang Arab Badwi berkata”kami telah beriman”.Katakanlah (kepada mereka), kamu belum beriman, tetapi katakanlah “Kami telah tunduk (Islam), kerana iman belum masuk ke dalam hati mu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya. Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (pahala) amalmu. Sungguh, Allah Maha Pengampun , Maha Penyayang)” (al-Hujurat; 49:12)

 

 

 

Mungkin tarbiah yang mereka bercakap hanya di lidah dan dihalkum sahaja, ia tidak meresap ke dalam hati. Sebab itulah tarbiah tidak boleh hanya sedap di lidah tidak meresap di hati. Yang penting kesan tarbiah meresap di dalam jiwa dan sanubari sehingga merasakan Allah memerhatikan apa tindakan mereka dan takut kepada dosa dan neraka. Nabi SAW mengingatkan kepada kita

“Jadilah diri kamu memelihara (beramal) dan jangan jadikan diri kamu hanya pandai meriwayat (bercakap) sahaja”

 

Apabila jamaah meletakkan tarbiah di dalam ruang yang kecil dan tidak bermaya berbanding dengan pentadbiran dan politik maka ini satu perkara yang merbahaya. Akibatnya tindakan dan cara muamalat (perhubungan)  mereka jauh dari akhlak Islam. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan tegang. Ia amat berlainann dengan suasana kerohanian yang dibentuk sehingga membentuk jiwa dan riqabatullah (pengawasan Allah).

Jika penumpuan tarbiah tidak diberikan maka mereka yang bergelar pimpinan hanya memfokuskan mengenai politik berdasarkan kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Ia merasa puas hati dengan kedudukannya tanpa merasakan apa apa kekurangan diri, rohani dan tarbiah. Tanpa perlu kepada makanan iman di dalam hidupnya. Jika ia tidak mengambil langkah segera maka ia akan jatuh ke kancah keciciran dalam perjuangan.

Oleh itu mahu tidak mahu anggota harakah samaada terdiri daripada saf pimpinan (qiadah) atau barisan pejuang (jundi) mestilah mengikuti tarbiah walaupun betapa  sibuk dalam apa jua keadaan sekalipun. Terutama ketika perjuangan kita menghadapi saat yang getir , tarbiah lebih perlu diberi perhatian, bukan sebaliknya. Sebab keperluan manusia kepada pemeliharaan Allah dan mengingati Allah lebih diperlukan dalam  suasana seperti itu.

Lojiknya mengatakan bahawa tarbiah tidak perlu untuk mereka yang berada di saf hadapan adalah tidak betul. Tarbiah bukan sahaja untuk ahli biasa. Kerana pimpinanlah orang yang paling banyak diuji, kadang-kadang yang membawa kebinasaan dan keciciran. Ia bertentangan dengan Islam dan falsafah pendidikannya. Falsafah yang menghendaki tarbiah berterusan sehingga mati. Dan Fitrah perjuangan Islam pula sentiasa diujui oleh Allah terutama kepada mereka yang berada di saf hadapan. Kita mewajibkan pengawasan diri, sentiasa mengigati Allah untuk menyuburkan iman. Mohonlah kepada Allah supaya hati sentiasa berjaga-jaga dari su’ul munqalib  dan sentiasa memohon dari Allah supaya dimatikan di dalam kesudahan yang baik. Sebagaimana doa yang diajar oleh nabi Muhammad SAW “Ya Allah yang membalikkan hati, engkau tetapkan hati aku di atas agamamu ”.

Kita sebagai anggota Pas tanpa  kecuali, mestilah mengikuti tarbiah dari semasa ke semasa. Hubungan anggota  (individu) dengan harakah hendaklah berasaskan kepada asas hubungannya dengan Allah dan dengan Islam. Inilah sebagai penyelamatnya untuk mengatasi gejala keciciran dalam perjuangan.

UMNO TUNDUK KEPADA  MCA UNTUK TALIAN HAYAT 

UMNO TUNDUK KEPADA  MCA UNTUK TALIAN HAYAT 
Idris Hj Ahmad
21/2/12

Debat YAB Lim Guan Eng dengan Datuk Seri Chua Soi  Lek membuktikan Umno terpaksa menggunakan talian hayat Presiden MCA untuk mendapat sokongan pengundi China. Umno di bawah kepimpinan Najib yang sudah hilang sokongan orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu sudah beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat, terutama selepas PRU 2008. 

MCA cuba meniupkan semangat anti Islam dengan memburukkan ajaran Islam kepada orang China supaya jangan beri undi kepada DAP. Manakala Umno pula memainkan semangat perkauman Melayu supaya orang Melayu jangan memberi undi kepada Pas, nanti DAP akan menguasai politik Malaysia. Inilah dasar lidah bercabang dua parti yang menguasai BN untuk memastikan undi Melayu dan Cina berpecah, maka senang mereka untuk terus menindas rakyat dan memfaraid khazanah negara.

Mana pergi Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Dr Mashitah Ibrahim, Ustaz Fathul Bari? Kenapa kamu membisu dan tidak menegur rakan sejawat kamu menakutkan Islam kepada orang bukan Islam? 

Tokoh-tokoh agama di dalam Umno boleh nilai, inilah hasil tarbiah agamawan Umno kepada Chua Soi Lek. Boleh perhatikan perbezaan ucapan dua tokoh cina di dalam forum tersebut. Soi Lek dengan bangga mengatakan “Kita orang cina.berani menentang-menentang dan melawan  Umno terutama dalam bab hudud, adakah DAP berani dalam hal ini…?. Ini pula jawapan YAB Lim Guan Eng. “Kita orang DAP tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal Agama mereka, begitu juga orang Pas tidak pernah menghalang dalam bab agama kita”.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

KWSP; BUKAN TABUNG BULUH KERAJAAN BN

KWSP; BUKAN TABUNG BULUH KERAJAAN BN

Wang KWSP ialah wang simpanan hari tua, ia bukan tabung buluh kerajaan BN untuk dibelanja sewenang-wenangnya bagi maslahat politik. Terbaru Senator Datuk Nong Chik mengumumkan kerajaan akan menggunakan wang KWSP sebanyak RM1.5 bilion untuk membantu 20,000 penyewa di Kuala Lumpur membeli rumah.

Kenapa wang KWSP yang digunakan? Kenapa kerajaan tidak menggunakan dana kerajaan sendiri?. Apakah ini petanda kerajaan BN sudah kritikal dari segi kewangan sehingga terpaksa mengguna dana awam. 

Bagaimana pula nasib rakyat di luar Kuala Lumpur yang menjadi penyumbang kepada KWSP. Kenapa mereka dianak tirikan? Rakyat Sabah dan Sarawak juga perlukan rumah Adakah ini hanya projek untuk mengambil hati pengundi di Parlimen Lembah Pantai yang bakal  ditandingi oleh Senator Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin..

Paling menyedihkan sekali menurut Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Komersial Sabah (SCEU) Rebecca Chin tidak dimaklumkan semasa beliau menghadiri mensyuarat Lembaga Pengarah KWSP. Beliau mewakili kesatuan di lembaga KWSP dari tahun 2007 hingga 31 Januari 2012.

Sebelum ini dana KWSP juga digunakan untuk valueCap sebanyak RM5 bilion, Felda RM6 bilion, pinjaman kepada GLC tanpa penjamin RM55.1 bilion.

Dana KWSP untuk simpanan hari tua, bagaimana nasib para pekerja selepas bersara, terutama mereka yang berpendapan rendah. Dividen KWSP hanya berkisar 5 hingga 6 peratus. Sedangkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera boleh memberi sebanyak 15 peratus.

KWSP berada di tangga ke 9 pada tahun 2010 sebanyak AS145.570 bilion berbanding tahun 2009  di tangga ke 18. Ini menunjukkan pungutan KWSP setiap tahun meningkat. Anggaran setiap bulan KWSP memungut sebanyak RM500 juta. Seramai 5.7 juta penyumbang, ahli MTUC 800,323 dengan 390 kesatuan. Malangnya ia tidak diurus dengan baik oleh kerajaan BN.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

By ustazidrisahmad Posted in Ekonomi

Najib Najib Dan Muhyidin Masih Gagal Menawan Pengundi Selangor

Najib Dan Muhyidin Masih Gagal Menawan Pengundi Selangor

Tahniah kepada Datuk Seri Khir Toyo kerana membuat pengakuan jujur bahawa BN sukar merampas Selangor walaupun Datuk Seri Najib dan  Tan Seri Muhyiddin Yasin begitu kerap sekali turun ke Selangor. Seolah-olah di Malaysia ini hanya Selangor sahaja yang perlu dijaga. Pemimpin Umno begitu berazam hendak merampas Selangor kerana hampir 40 peratus ekonomi Malaysia berpusat d Selangor. Betapa untungnya rakyat Selangor telah menjadi anak emas, sedangkan negeri lain seolah anak pungutan. Pengakuan jujur bekas Menteri Besar Selangor berdasarkan sokongan orang bukan Melayu masih tidak kepada BN. 

Sebenarnya bukan sahaja orang bukan Melayu tidak menyokong BN, malahan pengundi-pengundi Melayu sudah mula berubah sokongan kepada Pakatan Rakyat. Andaian Umno menganggap pengundi luar bandar masih menyokong Umno juga satu kesilapan. Anak-anak mereka yang celik IT dan media baru tidak akan membiarkan ibu bapa  mereka ditipu oleh pemimpin BN yang sudah menunjuk rekod tidak baik. Mereka akan pastikan ibu bapa mereka tida dipatuk ular sebanyak dua kali di dalam lubang yang sama.

Banyak program kerajaan PR yang sudah dirasai oleh penduduk luar bandar seperti skim warga emas, air percuma, Tabung Wawasan Anak Selangor (TAWAS), bantuan kepada pelajar ke IPTA, menaikan gaji guru KAFA kepada RM1500.00, skim Kifalah RM2500 kepada keluarga yang kematian warga emas. 

Kelas-kelas ilmu di masjid sebagai satu pencerahan ilmu di kalangan rakyat Selangor sudah mula dirasai. Umno cukup gerun dengan majlis ilmu kerana orang berilmu akan meninggalkan Umno. Oleh itu akan berusaha sedaya mungkin supaya majlis ilmu gagal, maka  rakyat akan  buta agama. 

Pencapaian cemerlang dan pengagihan kekayaan untuk rakyat mula  dirasai oleh semua lapisan rakyat. Tidak seperti zaman umno, rakyat makan tulang pemimpin makan isi.

Kejayaan kerajaan PR Selangor  menjelaskan hutang pada tahun 2010 sebanyak RM173  juta daripada RM800 juta. BN berhutang, PR tolong bayar. Untuk menunjukkan betapa serius kerajaan PR untuk memerangi rasuah maka diperuntukan dalam bajet 2012 sebanyak RM12 juta.

Asas inilah, walaupun dua gergasi di dalam Umno turun ke Selangor, insyaAllah tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada PR.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Negara Bankrap Jika PR Tiru BN

Negara Bankrap Jika PR Tiru BN
Idria hj Ahmad
31/1/12

PR sama sekali tidak akan meniru cara BN menguruskan negara jika diberi mandat oleh rakyat kerana  negara akan bankrap jika PR meniru cara BN. Datuk Seri Najib ketika  bercakap di Arau, mempersendakan kemampuan Pakatan Rakyat   yang membuat berbagai tawaran yang boleh menghancurkan negara.

Tuduhan ini adalah lahir daripada seorang yang resah dengan tawaran demi tawaran yang dikemukakan oleh PR. Pemimpin PR membuat tawaran setelah dikaji daripada mana sumber kewangan yang akan diperolehi bukan bertindak secara membabi buta

Setakat hari ini semua negeri PR tidak ada masalah, cuma yang bermasalah ialah negeri di bawah pentadbiran Umno BN. Sabah dan Terengganu walaupun negeri ini memiliki hasil minyak, malangnya rakyat berada di tangga pertama dan kedua dari segi kemiskinan tegar.

Yang mengatakan negara akan bankrap pada tahun 2019  ialah Datuk Seri Idris Jala Menteri Jabatan Perdana Menteri.

Memang negara akan hancur jika pemimpin PR memberi projek lembu RM250 juta kepada suami menteri yang bukan ahlinya. Negara bankrap  jika bil letrik rumah Perdana Menteri dan Timbalan Menteri RM160, 000 sebulan dan bil air RM31,000 sebulan. Memang bankrap jika kos penyelenggaraan rumah rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM48 juta dan kos menyewa rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM33 juta.

Negara bankrap jika PR meneruskan usaha memberi subsidi loji penjana kuasa sebanyak RM19 bilion, sedangkan subsidi minyak  untuk rakyat sebanyak RM11 bilion cuba dikurangkan. Negara bankrap jika PR tidak menghentikan amalan rasuah sehingg a negara rugi RM28 bilion setahun.

Negara akan bankrap jika pemimpin PR tidak ambil peduli setiap tahun teguran Ketua Audit Negara. Contohnya Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) walaupun tanpa baucer. Bukan RM100.00 tetapi hampir RM1 bilion. Jika trend ini ditiru memang negara akan bankrap.

Pakatan jangan  mengganti perangai buruk pemimpin Umno Bn yang menjahanamkan khazanah negara. Negara yang kaya dengan bahan mentah dan bumi yang subur tidak sepatutnya ada rakyat yang masih tidak bertanah, malahan ada yang tinggal di dalam air seperti Sabah dan Sarawak.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Boleh Kritik Pas

Boleh Kritik Pas
Idris haji Ahmad
24/1/12

Sebagai sebuah parti Islam ia tidak sunyi daripada kecacatan dan kelemahan. Selagi yang memimpin itu bernama manusia. Pemimpin Pas bukan maksum ia juga terdedah kepada kecacatan dan kekurangan. Sifat maksum hanya Rasulullah SAW sahaja, selain daripada mereka semuanya tidak maksum.

Ayat yang lazim dibaca selepas daripada mesyuarat dan perjumpaan ialah tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Di dalam surah al-Asr memberi panduan kepada orang yang beriman supaya menghidupkan budaya tausiah (nasihat dan teguran) di kalangan mereka terutama di kalangan anggota jamaah. Manakala tasbih kaffarah untuk memohon keampunan daripada Allah mungkin ada kesilapan dan kesalahan sepanjang pertemuan dan perbincangan.

Pas tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk mengkritik termasuk daripada musuh. Bukan semua kritikan daripada musuh kita membakul sampahkan sahaja, malahan perlu untuk dimuhasabah di kalangan pimpinan. Begitu juga kritikan daripada orang yang di luar jamaah yang memberi pandangan sebagai orang luar. Pas bersedia untuk menerima kritikan daripada pemerhati bebas, cuma jangan ada unsur fitnah.

Menurut Abu Ala Al Maududi seorang pemimpin gerakan Islam Jamiat Islami Pakistan di dalam tulisannya ada menyatakan, suatu gerakan Islam yang mempunyai pak turut yang tidak berfikir panjang akan mendapati jamaahnya  diresapi kesilapan-kesilapan walaupun sebuah jamaah itu melalui jalan yang benar. Dengan adanya kritikan maka segala  kesilapan dapat diminimumkan di dalam jamaah.

Jika tidak ada tegur menegur maka kesilapan demi kesilapan berterusan akan berlaku di dalam jamaah kerana tidak ada siapa yang berani menegur. Ini merupakan satu musibah kepada jamaah dan akan menghalang jamaah daripada terus maju.

Kita boleh melihat di dalam Muktamar Tahunan Pas. Ahli bebas memberi pandangan dan kritikan kepada pimpinan tanpa ada sekatan dan tapisan. Muktamar tidak dijadikan sebagai pesta mengampu pemimpin. Pimpinan Pas pula menerima kritikan dengan dada terbuka dan mengambil teguran sebagai satu peringatan.

Oleh itu salah satu daripada agenda usrah ialah sesi muhasabah di kalangan anggota ahli usrah. Naqib boleh muhasabah ahli dan ahli boleh muhasabah naqib. Ertinya tidak ada batu penghalang di antara mereka untuk membina peribadi dan jamaah melalui sessi muhasabah.

Cuma perlu diambil ingatan bahawa teguran ini datang dengan hati yang ikhlas bukan kerana dendam untuk mencari kesalahan mana-mana pihak. Jika ada sifat ini maka teguran ini tidak mempunyai apa-apa kebaikan kepada jamaah.

Gunalah saluran yang betul ketika memberi teguran. Lagak kita tidak boleh bertindak seperti orang yang tidak ada jamaah. Janganlah kita luahkan rasa tidak puas hati mengenai jamaah melalui Face book, blog, twiter, akhbar, televisyen. Janganlah mengkritik di majlis ceramah atau majlis ilmu, kerana pendengar  Ini bukan ahli Pas sahaja, mungkin musuh. Jika berlaku demikian rupa ia akan menguntung musuh Pas. Walaupun kita boleh memuas hati kita tetapi ia memberi mudharat kepada jamaah. Jangan kita membantu musuh daripada dalam tanpa kita sedari.

Sekiranya teguran masih tidak membawa apa-apa perubahan kepada jamaah dan pimpinan, maka parti membenarkan kita menukar pemimpin yang lain setiap dua tahun sekali. Kita boleh memilih pemimpin yang bersedia untuk menerima teguran untuk kebaikan jamaah.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

BR1M RM500 Umno Jangan Perasan

BR1M RM500 Umno Jangan Perasan
Idris Ahmad
23/1/12

Umno jangan “perasan” Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 wang kocek Umno.   Kain-kain rentang digantung merata kampung seolah-olah ini adalah pemberian Umno BN. Pada hal ini ialah wang rakyat diambil daripada berbagai sumber negara. Semua rakyat yang layak wajib  ambil, kerana ini adalah wang rakyat bukan wang Umno.

Pemimpin Umno bising dan menjadi modal kempen untuk memikat hati rakyat di musim pilihanraya mengenai pemberian BR1M.. Maklumlah pemberian yang diberi 55 tahun setahun sekali, itu pun apabila kuasa Umno BN berada di hujung tanduk. Selama ini pemberian ini tidak pernah terfikir oleh pemimpin Umno Bn untuk memberinya. Keadaan yang sama juga berlaku di Trengganu, walaupun minyak ditemui sejak tahun 70an,  tetapi  rakyat baru dapat wang ehsan RM300 setahun apabila Pas memerintah Terengganu 1999.

Percayalah Umno semakin tertekan dengan berbagai tawaran yang telah ditunjukkan oleh kerajaan PR, walaupun mengalami kekangan kewangan. Kerajaan PR mampu laksanakan, kerana dasar  penjimatan dan memerangi rasuah. Umno terpaksa ikut, jika tidak rakyat akan bangkit menolak BN. Sebelum jatuh biarlah tunjuk bakti terakhir untuk rakyat, sekurang-kurang generasi akan datang dapat melihat bahawa kerajaan Umno BN pernah memberi wang RM500.00 setelah 55 tahun merdeka.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Sombong Bukan Akhlak Ahli Pas

Sombong Bukan Akhlak Ahli Pas

Idris Haji Ahmad

19/1/12

Sombong, bongkak, angkuh, atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama iaitu tergolong dari sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun sedikit, menjadi kebencian dan kemurkaan Allah. Dan boleh menghalang kita mendapat Syurga. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina.” – (Al-Mukmin: 60). 

Sifat sombong atau takbur boleh dibahagi kepada dua: takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat. Imam Al-Ghazali berkata: “Orang yang takbur ialah apabila ditegur dia marah, sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.” 

Takbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh keturunannya.

 

Sombong adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pemimpin jamaah terutamanya. Ditakuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk.

 

Sifat ini boleh membawa kebinasaan kepada petugas dan pemimpin jamaah. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia dan jamaah.

 

 

Orang yang takbur mereka lupa  bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud:  Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]

Tanda-tanda sifat takbur dalam berbagai bentuk

 

Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya suka memandang berat kepada golongan kaya dan orang kenamaan
Mengambil berat secara berlebihan dalam pakaian
Tidak mahu berucap melainkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai orang
Menggunakan bahasa yang payah dan berbunga dengan berlebihan sehingga sukar difahami. Inilah yang diperingat oleh baginda nabi Muhammad SAW
 

 

“Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih (kata-kata) dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih (rumput) dengan lidahnya” (Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kagum dengan ilmu sendiri dan membodohkan orang lain
 

Cara untuk mengubat

 

Untuk mengatasi penyakit ini kita mesti bersifat tawaduk. Orang yang tawaduk dia hidup dengan semua orang dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan mengasihi semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada orang. Beliau sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka.

 

 

Sebagai ahli Pas hendaklah mesti bersikap rendah diri samaada sesama anggota atau dengan orang lain lebih-lebih lagi yang bertaraf pemimpin. Railah ahli Pas, bukan wang yang mereka minta. Mereka hanya perlukan senyuman, teguran dan sentuhan daripada pemimpin. Ini sahaja yang mereka minta. Mereka tidak minta upah semasa mereka memenangkan kita sebagai wakil rakyat. Mereka meninggalkan kerja harian, untuk bertugas kepada calon yang bertanding, walaupun keluarga mereka memerlukan perbelanjaan harian. Mereka tidak pernah merungut dan mengeluh terhadap curahan tenaga mereka yang tidak pernah dibayar.

Walaupun kita bijak macam mana sekalipun, dia  perlu membuang sifat ego daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, ahlinya bekerja secara sukarela bukan  ada gaji. Apabila ini dapat dibuktikan dalam jamaah insyaAllah ia akan merancakkan kerja jamaah dan dapat melebarkan pengaruh Pas kepada orang luar. Sekiranya  ahli dan pemimpin  Pas dengan sifat ego dan merasakan dirinya pandai dan bijak maka ia tidak akan boleh membawa parti ke arah yang lebih cemerlang. Orang ego dan sombong tidak boleh kekal lama dalam Pas dan memajukan jamaah dengan lebih cemerlang. Malahan akan memalapkan usaha dan perancangan jamaah.

Abdullah Ibn Masud ada menyebut dua perkara yang membinasakan manusia iaitu berputus asa  dan rasa bangga diri.

 

Sifat tawadhuk akan membuka hati mad’u untuk tertarik dengan apa yang dibawa oleh  Pas. Mereka apabila bertemu dengan orang ramai, dia yang memulakan salam dengan semua yang ditemuinya. Mereka bersikap  sederhana ketika berkumpul dengan orang-orang fakir dalam satu majlis. Mereka makan dengan apa yang dihidangkan kepadanya dan berjalan di atas muka bumi dengan rasa rendah hati.

 

Firman Allah s.w.t

 

“Dan hamba Allah yang baik; ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan (kesejahteraan) (al-Furqan: 63)

 

 

Merendah diri dan menerima kebenaran dan bersedia mengikutnya sekalipun orang-orang jahil menasihatinya. Takabbur atau sombong sangat dibenci oleh Allah dan juga oleh manusia lain. Kemuliaan di sisi Allah diukur dari segi ketaqwaan seseorang itu bukannya pangkat, harta dan lain-lain.

 

Juga sabdanya s.a.w.:

 “Barangsiapa yang merendahkan diri kerana Allah, maka ia diangkat darjatnya oleh Allah dan barangsiapa yang sombong, maka direndahkan tingkatnya oleh Allah.”

 

Rasulullah SAW bersabda

 

 

Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawadhuk sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain, dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang yang lain” (Muslim dan Abu Daud) Nasih : 38

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya. 

Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Kemaraan PR, Menggerunkan BN

Kemaraan PR, Menggerunkan BN
Idris ahmad
16/1/12

Konvensyen PR kali ketiga sudah selesai pada 14/1/12 di Stadium Suka Menanti Alor Setar Kedah. Ia merupakan satu lonjakan kepada PR untuk menghadapi PRU akan datang bagi menawan Putrajaya. Usaha BN untuk melihat  PR berpecah gagal, malahan hubungan PR semakin akrab. Pemimpin BN semakin gerun melihat pencapaian empat kerajaan PR yang terbukti dan teruji. Ia bukan retorik tetapi mampu untuk melaksanakan sehingga mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara. Rakyat sudah mula berfikir jika PR mampu mengurus negeri,  walaupun dengan kekangan kewangan maka sudah pasti PR lebih mampu jika diberi mandat untuk memerintah di peringkat pusat. Kerana hasil petrolium, bijih, getah, sawit, mutiara, balak,cukai,air,emas, pasir putih, batu semuanya akan dikendalikan dengan baik dan dikembali kepada rakyat untuk dinikmati.

Lebih menggerunkan apabila  komitmen PR dengan janji 10 perkara dalam masa 100 hari. Tujuannya ialah supaya rakyat tidak perlu  menunggu selama lima tahun untuk melihat perubahan yang akan dibawa di negara ini. Sebenarnya sebahagian besar  10 perkara  sudah dilaksanakan di negeri PR sekarang. Contohnya pemberian RM500.00 setiap bulan kepada guru-guru telah dilaksanakan oleh Selangor kepada guru-guru KAFA daripada RM1000.000 kepada RM1300.00. Walaupun tidak RM500.00 sekurang-kurang sebagai permulaan. Kedua wifi percuma akan dilaksanakan di Selangor .Ketiga memulangkan konsesi air kepada rakyat, perkara in sudah berjalan di Selangor. Ini membuktikan kemampuan PR untuk menguruskan negara walaupun mempunyai kekangan kewangan.
 

PR sudah iltizam jika diberi mandat untuk memerintah negara, keesokan hari harga minyak akan diturunkan, dalam masa dua minggu tarif letrik akan diturunkan, dalam masa 100 hari tol akan dihapuskan.Cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib yang mengatakan negara ini akan bankrap masih tidak bersahut, nampaknya pemimpin Umno hanya berani digelanggang sendiri tanpa lawan,tetapi pengecut untuk berdebat secara ilmiah mengenai masa depan negara.

Sent from my iPad

Bersatu Tawan Putrajaya, Bukan Jatuhkan PR

Bersatu Tawan Putrajaya, Bukan Jatuhkan PR

Idris Ahmad
12/1/12

Rakyat Selangor bersatu hati untuk menawan Putrajaya supaya melincinkan agenda untuk rakyat di negara ini. Bukan bersatu  untuk menaikkan kembali Umno BN di Selangor yang terbukti parti yang mengkhianat amanah rakyat.

Banyak ganguan yang dihadapi oleh negeri Pakatan Rakyat selagi BN masih berkuasa di peringkat pusat.

BN yang tidak menghormati konsep Fedaralisme yang berjalan di negara ini. Banyak hak negeri dinafikan, sedangkan hak pusat seperti bayaran pasport, stem, cukai kastam, saman kesalahan lalu lintas, hasil minyak semua dibolot oleh kerajaan pusat.

Oleh itu cadangan Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zain Mohamed  yang menyeru rakyat Selangor bersatu hati untuk menawan Selangor di dalam pilihanraya akan datang supaya seiring dengan Putrajaya adalah cadangan daripada orang yang kecewa.

Beliau mengatakan kerajaan PR gagal mengatasi masalah sampah, air dan peniaga bumiputera. Sebenarnya rakyat tidak menghadapi masalah, yang sakit dan tidak bernafas sekarang ialah kroni Umno yang tidak dapat projek. Sekarang syarikat kroni Umno telah dihinggapi histeria kerana syarikat pungutan sampah telah diambil alih oleh Kerajaan Tempatan. Sebab itu berbagai sabotaj dilakukan terhadap kerajaan negeri.

TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIAH

TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIAH
Idris Ahmad
12/1/12
Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Semalaysia Pas kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini  merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini. Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh  dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin. Sekiranya manusia hidup tanpa  disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.
Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah nabi SAW yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah.
Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain baginda menerima dari  alasan mereka.
Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan nabi SAW. Beliau menyangka baginda tidak tahu,  sangkaan beliau meleset kerana baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.
Apabila baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid untuk meminta maaf, maka baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah SWT.
Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Sham datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Sham kerana sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengabil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam.
Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana  Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang  bertemu Rasulullah saw. lalu ia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang  sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?”
Rasulullah saw. menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”
Istri Hilal menjelaskan, “Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”. Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.
 
Selama lima puluh hari lima puluh  malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada baginda SAW memberi tahu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka bertiga.
Mendengar berita itu Kaab terus   sujud syukur kepada Allah.
 
Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya “Bergembiralah kau pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”
“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.
“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasul saw.
 

Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah saw.”
Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.
“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)
 
Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpedapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan: Ya . kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Bermaksud,
“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Taubah 9:102)
 
Pernah berlaku kepada seorang aktivis Pas di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu Pas dan menghadiri program Pas walaupun beliau bukan ahli Pas. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.
 
 
Rumusannya
1.Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.
2.Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri
3.Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.
4. Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.
5.Menguji keikhlasan seorang itu samaada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.
6. Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.
7. Allah akan menguji kepada kita samaada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh Pas yang sentiasa mencari peluang
8.Contohilah seorang ahli biasa Pas d Pasir Salak  walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada Pas
9.Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa. 

BN Tergugat Di Perak, 135 Wakil Rakyat Terpaksa  Berkampung

BN Tergugat Di Perak, 135 Wakil Rakyat Terpaksa  Berkampung
Idris ahmad
10/1/12

Seramai 135 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan mengikuti program pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di beberapa kawasan di utara negeri ini selama tiga hari dua malam bermula 12 Januari ini sebagai petanda Perak tidak  selamat untuk BN. Sebelumnya pemukiman ini telah dibuat di Selangor. Semua ini gara-gara Perak dan Selangor bukan selamat untuk BN di dalam PRU akan datang. Menurut Pengerusi Kelab ADUN BN (BBBBC), Datuk Nadzri Ismail berkata, setiap wakil rakyat akan menetap bersama keluarga angkat masing-masing di 135 kampung terpilih melibatkan lapan bahagian utama iaitu Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas, Beruas dan Lumut.

Kawasan-kawasan ini adalah kawasan yang gelap pada perkiraan BN, maka tupuan khas harus diberikan untuk menarik sokongan. Rakyat Perak akan mengajar pemimpin BN yang menggambil alih dengan cara yang tidak demokratik setelah 11 bulan PR memerintah Perak. Sekarang pemimpin Umno BN terpaks melutut kepada rakyat unuk mengemis undi daripada rakyat. 

Pemimpin Umno sedar bahawa rakyat benci dengan gelagat mereka ketika mengambil alih kuasa tempoh hari. Sekarang mereka cuba mengambil hati rakyat dengan program turun ke padang, konon cuba menyelami masalah rakyat bawahan. Apabila rakyat perhatikan selepas rampasan kuasa tidak ada apa-apa kelebihan yang Umno tawarkan untuk rakyat malahan apa yang berlaku ialah hanya dendam kesumat dan fitnah kononnya kerajaan PR menindas Melayu.

Walau bagaimana pun rakyat Perak beruntung kerana PR kuat sehingga BN terpaksa menurun bala tenteranya dan membawa berkandar-kandar projek untuk rakyat Perak. Amat rugi negeri yang rakyatnya menyokong Umno, kerana mereka dianak tiri kerana pemimpin Umno sedar mereka ini di dalam gengam Umno BN.

Satu Cawangan Satu Usrah

Nizam tarbiah Parti Islam Semalaysia Pas banyak. Antaranya ialah usrah, tamrin, daurah tadribiah, jaulah, rehlah, mukhayyam, qiamullail, majlis ilmu, ziarah, riadhah. Usrah pula menjadi tonggak kepada program tarbiah.  Pengabaian kepada usrah bermakna ia akan membawa kecacatan kepada Pas di masa akan datang. Kerana tanpa usrah maka gerakan akan menjadi jumud dan tidak dapat melahirkan pekerja dan tenaga pelapis. Tanpa usrah yang betul maka tidak akan dapat mencapai matlamat yang perlu ada pada mana-mana gerakan. Segala keputusan akan dapat dilaksanakan dengan baik apabila konsep usrah dipraktikkan dalam gerak kerja jamaah.

 

Perlu difahami bahawa usrah juga bukan majlis ilmu semata-mata tetapi ia satu majlis untuk meningkatkan komitmen kepada Islam dan memperjuangkan Islam di atas muka bumi ini. Usrah juga merupakan majlis untuk membincang masalah  organisasi dalam jamaah. Kesilapan memahami fungsi usrah menyebabkan perjalanan usrah menjadi lesu dan tidak bermaya dan tidak memberi apa-apa kesan pada peribadi dan juga pergerakan jamaah.

 

Usrah bermakna keluarga.  Rapatnya hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang lebih akrab daripada hubungan saudara sekeluarga.

 

Manakala istilah yang disebut oleh ulamak gerakan ialah kumpulan individu Muslim yang beriman kepada Allah yang berusaha untuk membina fikrah Islam dalam diri dan membina peribadi Muslim, berusaha untuk tolong menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam dan melaksanakan amanah yang dipikulkan kepada mereka di atas muka bumi ini untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan pengabdian kepada manusia dan taghut.

 

Kesimpulannaya usrah adalah proses untuk mengikat hubungan yang lebih mantap di kalangan ahli jamaah untuk melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur menegur antara sesama ahli dan nasihat menasihat adalah asas kekuatan jamaah. Kemanisan berjamaah akan terasa apabila pelaksanaannya menepati dengan kehendak usrah.

 

Ketika Pas memulakan kepimpinan ulamak 1982 maka gerakan usrah tumbuh seperti cendawan. Boleh dikatakan setiap ahli Pas mengenali usrah, sehingga melahirkan individu yang berkualiti walaupun bilangan mereka sedikit. Boleh dikatakan setiap cawangan ada markaz, hasil daripada suntikan usrah sehingga melahirkan pengorbanan yang tinggi. Malahan antara sebab yang menjadi penyebab kepada desakan supaya Pas membawa gagasan kepimpinan ulamak ialah apabila order lama yang tidak berapa selesa dengan istilah usrah. Mereka hanya hendak menjadikan Pas sebagai sebuah parti politik semata-mata, sedangkan mereka lupa Pas sebagai gerakan Islam dan gerakan politik. Ketika itu muncul tokoh-tokoh tarbiah di dalam Pas seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Nor, Ustaz Yahya Osman, Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Tokoh-tokoh ini cuba meletakkan Pas sebagai landasan yang betul supaya ada perbezaan dengan lawannya Umno pada ketika itu. Sebelumnya tidak banyak beza dari segi shakhsiah dan pakaian ahli Pas dengan ahli Umno, Cuma yang berbeza ialah ideologi poitik ketika menjelang pilihanraya umum. Waktu itu muslimat yang berjubah dan bertudung labuh di merata tempat. Lelaki pula yang berjubah dan berserban.

 

Pengalaman saya turun mengadakan muzakarah tarbiah di peringkat negeri-negeri yang  melibatkan peserta daripada semua Lajnah Tarbiah kawasan-kawasan amat menduka citakan. Umumnya apabila ditanya kepada kawasan-kawasan, hanya 30 peratus sahaja usrah di cawangan-cawangan berjalan.

Jika trend ini berlaku ia tidak baik kepada masa depan Pas, terutama dari sudut perkaderan, pembinaan syaksiah ahli dan gerak kerja jamaah terutama persiapan menghadapi pilihanraya.

 

Usrah di peringkat cawangan amat perlu dilaksanakan, kerana kekuatan Pas terletak di cawangan-cawangan. Jika usrah berjalan dengan baik, tidak timbul soal penculaan di setiap lokaliti tidak berjalan. Malahan daftar pemilih juga tidak menjadi kalut, kerana setiap minggu perkara ini akan diperingatkan oleh naqib di dalam setiap kali pertemuan kepada semua ahli keluarga yang belum lagi mendaftar. Ertinya banyak perkara di dalam organisasi dapat diselesaikan.

 

Selalu persoalan yang ditimbulkan oleh cawangan-cawangan, mereka tidak ada naqib. Maka dengan sebab itu usrah tidak berjalan. Jawapan saya kepada mereka jangan menjadi alasan untuk tidak membuat usrah. Perkara yang penting ialah pertemuan mingguan. Mereka boleh melaksanakan sendiri,  dengan membaca Yasin, solat hajat dan isi dengan tazkirah tulisan pimpinan Pas seperti tulisan Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib dan buku keluaran Lajnah Tarbiah Pas Pusat. Cukup sekadar membaca di dalam dua muka surat tanpa huraian (kalau mampu lebih baik) kemudian boleh berbincang dengan ahli mengenai organisasi, kebajikan ahli dan sebagainya. Apa yang penting ialah pertemuan supaya ukhwah terjalin dengan kukuh.

 

Jamil Khir Kena Jawab Persoalan Pokok

Jamil Khir Kena Jawab Persoalan Pokok
Idris Ahmad
1/1/12

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu menjawab persoalan yang dibangkit  oleh Ketua Audit Negara, bahawa 
beliau,  Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain  kerana menggunakan  wang zakat   sebanyak RM63,650 kes saman  qazaf  Datuk Seri Anwar Ibrahim

Rakyat sedang menunggu penjelasan, asnaf mana yang membolehkan  beliau meminjam wang zakat? Apakah kedudukan beliau sebagai Gharimin (orang yang berhutang)? Faqir miskinkah? Fisabilillahkah?,Muallafkah?  Penjelasan yang beliau berikan semalam tidak menjawab persoalan yang berbangkit. 

Beliau kena menjelaskan kepada rakyat supaya institusi agama yang memungut wang ini tidak di pandang serong oleh masyarakat. Kita tidak mahu kerana nila setitik , rosak susu sebelanga.

Beliau tidak perlu mengalih isu kepada tuduhan beliau ubah suai rumah. Tidak mengapa kalau beliau rasa perlu dan itu wangnya. Maklumlah seorang Menteri, mesti tunjuk rumah yang hebat setaraf dengan seorang bergelar Menteri.

BN Menyesal  Rakyat Selangor Masih  Bersama PR

BN Menyesal  Rakyat Selangor Masih  Bersama PR
Idris hj Ahmad
30/12/11

Kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengatakan rakyat Selangor menyesal kerana  menolak BN di dalam pilihanraya yang lalu merupakan kenyataan yang tidak berasas sama sekali. Ia bertentangan dengan kegembiraan oleh rakyat Selangor menikmati berbagai kemudahan. Kenapa pula rakyat Selangor hendak menyesal kerana menolak BN ? Mereka tidak pernah mimpi memperolehi air percuma, skim kifalah RM2500′, guru Kafa mendapat elaun RM1500, Tabung Wawasan Anak Selangor (TAWAS) RM100.00, skim mikro kredit miskin bandar sebanyak RM5000 bagi mereka yang berpendapatan RM1500 sebulan, berjaya melunaskan hutang RM 173 juta daripada RM800 juta. 

Sebenarnya yang paling menyesal apabila rakyat Selangor menolak BN di Selangor ialah pemimpin Umno. Impian mereka hendak membolot khazanah di Selangor tidak kesampaian. Hajat untuk membina rumah mewah yang berhaga berpuluh juta terpendam, hajat mereka untuk menutup kelas pengajian di masjid dan surau tidak berjaya.

Perkara yang paling menyakitkan hati pemimpin BN ialah  ”khurafat”yang mengatakan selain daripada Umno memerintah maka sebuah negeri tidak maju telah tertolak dengan kejayaan PR menunjukkan prestasi cemerlang walaupun dalam masa yang singkat. 

 Rakyat Selangor tidaklah sebodoh itu untuk menukar kerajaan yang sudah memberi keselesaan kepada kerajaan BN yang kembali menindas rakyat demi kepentingan perut kroni dan anak pinak jika mereka berkuasa.