SEJARAH KEPIMPINAN ‘ULAMA’ DALAM PAS


Di dalam bab yang lalu telah dibincangkan mengenai sejarah kelahiran Pas di negara ini adalah hasil perjuangan ulama’  dan golongan agama yang hendak melihat Islam mentadbir di negara ini yang bebas daripada badan Induk (Umno)(Abdul Razak Ayub 1985:46). Golongan Ulama’  merupakan golongan yang lebih memahami Islam dan semangat menentang penjajah. Mereka jugalah yang banyak memegang peranan memimpin dan mengembangkan PAS di seluruh tanah air. Kekentalan Pas dengan doktrin agama dan politik yang tidak boleh dipisahkan  telah mempengaruhi dan meresapi kuat ke dalam pemikiran parti Islam melalui wadah politik. (Zulkifli Muhammad, 1954: 13).   

Oleh kerana Pas adalah sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar maka ia telah mendapat sokongan dari orang ramai terutama di kalangan tuan guru dan ustaz. Mereka ini adalah kelompok yang mempunyai penyokong  di peringkat akar umbi. Ini dapat dilihat Presiden Pas yang pertama (dulunya Yang Dipertua Agung Pas) dipimpin oleh ulama’  atau sekurang-kurangnya golongan agama kecuali di zaman Dr. Haji Abas Alias. Tanpa diminta para pendukung dan ahli-ahli PAS telah meletakkan mereka sebagai pemimpin meskipun di dalam perlembagaan PAS yang awal tidak menyebutkan tentang kepimpinan ulama’. 

Walaupun sebuah Dewan ulama’ sudah wujud pada peringkat awal, hampir sama dengan penubuhan Pas (Alias Muhamed, 1992: 94) tetapi agak kurang dalam menentukan dasar dan pembawaan parti.1 Kedudukan Dewan ulama’ hanya setanding dengan dewan-dewan lain yang tidak mempunyai autoriti yang besar. Ketuanya berada di dalam Dewan Harian bersama-sama dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Waktu ini kedudukan ulama’ dalam hiraki parti tidak dipandang sebagai kata pemutus. Sehinggalah terdapat desakan di kalangan ahli bahawa perlunya ulama’ ditempatkan dan diinstitusikan dalam parti PAS.(Harun Taib 2000: 4)  

Beberapa fenomena telah berlaku dalam parti dan luar parti telah menuntut PAS melakukan perubahan kepimpinan yang lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan zaman. Ini telah menggerakkan Pas untuk mewujudkan kepimpinan Ulama’ bagi mengembalikan fungsi kewujudan PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam. PAS melihat dekad-dekad kebelakangan ini semacam ada usaha untuk memencilkan peranan ulama’ di mana peranan ulama’ diletakkan di bidang ibadah sahaja. PAS berusaha untuk meletakkan Ulama’  di tempat yang sepatutnya seperti pada zaman kegemilangan awal dahulu.  

Faktor-faktor kesedaran terhadap Islam sejak tahun 1970an telah menggalakkan munculnya pertubuhan-pertubuhan  yang bergerak atas nama Islam dalam menjalankan aktiviti da’wah di seluruh negara. Badan dakwah yang lahir seperti ABIM,2 (Angkatan Belia Islam Malaysia) dianggotai oleh pelajar dalam negeri dan luar negeri untuk merealisasikan cita-cita perjuangan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah selain daripada itu terdapat pergerakan seperti Tabligh dan al-Arqam. (Chandra Muzaffar, 1978: 53-55)  
 

Penglibatan tokoh-tokoh ABIM ke dalam PAS jelas selepas kekalahan PAS di Kelantan pada Mac 1978 ekoran surat Pak Muhammad Natsir (Ketua Umum Masyumi) kepada Datuk Mohd Asri haji Muda supaya ABIM menyelamatkan PAS (Subki Latif, 2003: 3)  

Hubungan intim ini boleh dilihat ketika pilihanraya umum 1978, dimana beberapa tokoh besar ABIM. seperti Ustaz Fadhil Nor (waktu itu Timbalan Presiden ABIM) dan Ustaz Nakhaei Haji Ahmad Naib Presiden ABIM,  Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Yang Dipertua ABIM Negeri Terengganu)  dan Ustaz Yahya Othman (Ahli Syura ABIM) telah bertanding atas tiket Pas. Dengan pembabitan mereka secara langsung dalam PAS telah membawa satu pembaharuan dalam jentera dan fikrah perjuangan untuk merealisasikan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.(Muhammad Abu Bakar, 1987: 147). Mereka mula membawa  pendekatan dan mengenepikan sentimen nasionalisme Melayu kepada pendekatan Islam yang syumul dan bergerak sebagai sebuah gerakan Islam dan pembentukan sebuah Negara Islam yang tulin. (Esposito, John L., John O. Voll, 1996: 134, Abdul Ghani Ismail, 1987: 19) Pembabitan mereka dalam PAS menyebabkan pengaruh Dato’ Asri semakin merosot, terutama selepas jatuh Kelantan ke tangan Barisan Nasional pada tahun 1978.  

Bibit-bibit perpecahan dalam PAS di bawah kepimpinan Dato’ Asri mula muncul berkaitan dengan keputusan beliau membawa PAS menyertai Kerajaan Campuran 1972,3 dan kemudian Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1974. 4  Tindakan ini menyebabkan Pas terbahagi kepada dua puak, pro dan kontra. Asri mendapat mandat untuk masuk BN dalam tahun 1974 melalui muktamar PAS, daripada 352 yang hadir, 143 sokong, 19 bekercuali dan 190 menentang (Alias Mohamed, 1978: 170. Mauzy, 1983: 75-84). Banyak dari kalangan orang penting telah meninggalkan parti seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Agung), Amaludin Darus, Ahmad Fakhruddin (bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan). Ada di kalangan mereka yang mengundi calon PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaya) atau calon bebas bagi menentang calan BN(Hussin Mutalib,1990: 109, D.K. Mauzy, 1983: 75-84, John Funston, 1980: 294) Kemenangan revolusi Iran turut juga mempengaruhi ahli PAS untuk menolak kepimpinan Dato’ Asri  sebagai Yang Dipertua Agung dalam muktamar Tahunan ke 28.(Kamarudin Jaafar 2000: 5,  Alias Muhamed, 1994: 178-179, Zambry Abd. Kadir, 1995: 310). Ahli-ahli Pas mengharapkan Yang Dipertua PAS Dato’ Mohd Asri dapat menunjulkan imej  Islam yang jelas dalam menghadapi dasar penerapan nilai-nilai Islam Umno(Alias Muhamad,1984: 85-86). Ditambah pula suasana berpuak,5 memilih kawan dan kaum kerabat beliau dalam apa-apa jawatan atau calon pilihanraya telah menimbulkan rasa kurang puas hati atas kepimpinan beliau.(Kamarudin Jaafar 2000: 5). Faktor-faktor inilah telah melonjak untuk melihat bahawa kepimpinan beliau tidak relevan dengan semasa dan beliau perlu berundur dan diganti dengan pemimpin yang lebih dinamis.   

Menurut Ustaz Hassan Shukri, sebenarnya semangat kesedaran Islam yang dibina melalui Gerakan Insaf,6 Gerakan Syuhada’7, Gerakan Seksi Pembinaan Mental (SPEM)8 antara 1968 hingga 1975 telah memulakan idealisme kepimpinan Ulama’ dalam parti. Begitu juga pada pertengahan 1970 an, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Abu Bakar Hamzah yang berkrisis dengan Dato’ Mohd Asri  Muda telah membangkitkan soal “pemimpin buta al-Quran” yang merupakan gagasan awal terhadap perlunya kepimpinan Ulama’ memimpin PAS (Abu Bakar Hamzah, 1989: 142). Menurut Ustaz Yahya Othman apabila peningkatan dan penyusunan tarbiyyah telah meningkatkan kesedaran terhadap keperluan PAS untuk dipimpin oleh Ulama’ .9 

Bibit-bibit awal kearah kepimpinan ulama’ sudah nampak kelihatan apabila pada tahun 1978 Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepimpinan parti dilakukan secara syura dan Ulama’  diberikan kedudukan yang lebih penting. (Minit Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia 1978: 27-32, Kertas Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke 25: 39:40) Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd. Asri yang mengamalkan demokrasi terpimpin kerana dalam kepimpinannya Ulama’ duduk dikelas dua. (Husin Mutalib 1990: 111) 

Usul ini telah dikemukakan oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan diluluskan oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Maka Dewan Pemuda PAS Pusat telah membentuk Jawatankuasa Penapis yang dianggotai oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Fadhil Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan cikgu Mustafa Ali selaku lembaga penapis kelayakan calon. Mereka yang akan bertanding dalam Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat mestilah memenuhi kriteria keperibadian Islam, adil dan boleh berijtihad (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS 1978-1979: 27-32). 

Golongan muda dalam PAS telah mengatakan bahawa PAS diasaskan oleh para  Ulama’  dan seharusnya para Ulama’  yang berkemampuan mewarnai gerakan dan haluan PAS dalam meneliti liku-liku politik negara( Nasarudin 2001: 36). Mereka melihat Dato’ Asri yang memimpin PAS gagal menunjukkan kemampuan untuk bergerak sebagai sebuah parti Islam malah ia tidak banyak beza dengan UMNO dari segi cita-cita Melayunya dan terdapat lagi beberapa orang pemimpinnya tidak memaparkan watak Islam. Kepada golongan fundamentalis pada ketika itu PAS tidak menepati kehendak atau idea sebuah pergerakan Islam(Rahman Shaari, 1983: 49).  

Selepas daripada itu maka beberapa muhasabah awal diadakan terhadap punca kekalahan PAS di Kelantan sehingga beberapa pemimpin PAS Kelantan telah meletakkan jawatan kerana mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan tersebut.10 Beberapa usaha telah dibuat untuk meletakkan PAS di atas landasan perjuangan Islam yang sebenar11 dengan menterjemahkan kitab seperti Ma’alim Fi Attariq karangan Syed Qutb, beberapa karangan al-Maududi dan karangan Mohd Nasir Indonesia, beberapa terjemahan Hadis,  Quran mengenai ayat jihad dan politik. Perkara ini dibincang di dalam usrah, maka muncul kuliah-kuliah Jumaat, kuliah haraki dan beberapa kegiatan tarbiyyah dan sebagainya.  Namun begitu terdapat segelintir di kalangan pemimpin PAS memandang sepi usaha pembaharuan yang hendak meletakkan PAS di atas landasan yang betul. Oleh itu mereka berada di takuk lama sedangkan pengikut di bawah menghala ke arah harakah Islam yang syumul. Akibat daripada itu timbulah satu perselisihan  di antara kedua-dua belah pihak. Sehingga mewujudkan satu gelombang yang besar dalam parti untuk menuntut perubahan12  

Terdapat juga faktor krisis dalaman yang mempercepatkan proses kepimpinan Ulama’. Ini berlaku apabila pertandingan merebut jawatan Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS Pusat antara Ustaz Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Abu Bakar Umar. Di dalam pertandingan tersebut Ustaz Abu Bakar Umar telah tewas, walau bagaimana pun Dato’ Asri Haji Muda  telah melantik Ustaz Abu Bakar Umar sebagai Setiausaha Agung untuk mengganti ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan melantik Bendahari pula ialah Haji Hassan Muhammad seorang yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerja Umno Malaysia.13  

Tambahan pula Umno di bawah kepimpinan Dr. Mahathir Mohammad  telah dikejutkan dengan satu dasar penerapan nilai-nilai Islam dengan melaksanakan projek Bank Islam ,Takaful , Universiti Islam dan banyak lagi  projek-projek atas nama Islam.14 Dasar ini belum pernah dikemukakan untuk tatapan rakyat oleh pemimpin sebelumnya.15 Tetapi zamannya telah memberi satu gelombang baru pada pencinta-pencinta Islam untuk merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup. (Vidhu Verma, 2002: 95) Banyak orang yang telah tertarik dengan stail kepimpinan yang akan dibawa oleh beliau sebagai contohnya saudara Anwar Ibrahim16 yang begitu lantang mengkritik dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak Islamik semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).(Ozay Mehmet, 1990: 49, Kamarudin Jaafar, 1986: 181, John Gullick And Bruce Gale, 1986: 272, Rahman Shaari, 1983: 10,  Aziz Zariza Ahmad, 1988: 188, Chong Kek Yoong, 1987: 17, Hassan Haji Hamzah, 1990: 54-58). 

Dalam pada itu hubungan Dewan Pemuda PAS dengan kepimpinan induk agak dingin terutama dengan Yang Dipertua PAS  sehingga timbul dakwaan Dewan Pemuda menjadi parti dalam parti (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat 1981-1982: 3)

Akibatnya beberapa rundingan diadakan untuk meredakan keadaan melalui setiausahanya Haji Ahmad Subki Abdul Latif dengan Dato’ Mohd Asri Muda tetapi gagal. Haji Mustafa Ali yang menjadi ketua pada masa itu merasakan bahawa Dato’ Asri sudah tidak berkemampuan lagi untuk memimpin Pas(Abdul Halim Mahmood, 1983: 21). Malahan beberapa lajnah (biro) dalam parti tidak memberi kerjasama yang baik kepada beliau seperti Setiausaha Agung, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Ulama’ .(Mastika Jan 1983: 8-12)  

Kemuncak di dalam tindakan untuk mengenepikan kepimpinan Asri secara drastik maka Dewan Pemuda PAS telah mengadakan Muktamar tahunan Ke 23 secara berasingan  dengan Muktamar PAS Pusat, Perkara ini adalah satu tindakan yang luar biasa.17  Menurut Dato’ Mustafa Ali muktamar ini dibuat secara berasingan kerana sebagai satu isyarat untuk memprotes kepimpinan Dato’ Asri . Dengan ini Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat tidak dirasmikan oleh Dato’ Asri, sebaliknya dirasmikan oleh Ustaz Fadhil Mohd. Noor pada ketika itu menjawat sebagai Naib Presiden PAS. Sehingga hari ini peraturan itu diguna pakai, iaitu Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat diadakan secara berasingan dengan  diawalkan sehari daripada Muktamar PAS Pusat.18 Tetapi mengikut yang tercatat kenapa Muktamar ini dibuat  dahulu daripada Muktamar PAS Pusat ialah untuk membolehkan  diadakan pameran selama dua hari untuk memeriahkan muktamar. (Minit mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat  12 Jun 1982: 4) 

Tindakan yang dibuat oleh DPP telah menimbulkan kemarahan kepada kepimpinan lama tetapi mendapat sanjungan daripada  order baru (golongan yang menyokong perubahan). Di dalam muktamar ini  gagasan kepimpinan ulama’ dikemukakan.19 Menurut Sabki Abdul Latif usul ini dikemukakan apabila muktamar pemuda di Bukit Mertajam tidak ada usul, maka beliau selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, pada waktu itu telah berbincang dengan Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong di Rumah almarhum Hasan Salahudin Haji Khalil (AJK DPP Pusat) di Bukit Mertajam, apabila tidak ada usul maka beliau mencadangkan supaya usul mengenai kepimpinan Ulama’ dikemukakan dalam muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat dan diluluskan20.  

Apabila muktamar PAS Pusat pada tahun 1982 berlangsung perwakilan Dewan Pemuda PAS telah menolak cadangan Jawatankuasa Agung PAS untuk melantik cikgu Sudin Wahab seorang penyokong kuat Dato’ Asri sebagai Pengerusi Tetap, sebaliknya mencadangkan Ustaz Kasim Ahmad sebagai pengerusi tetap. Dato’ Asri yang menyedari kemarahan perwakilan terhadapnya telah bertindak untuk tidak menyampaikan ucapan dasar pada hari pertama muktamar sebaliknya menyampai pada hari kedua 23 oktober 1982. Ini menyebabkan terdapat khabar angin bahawa perwakilan daripada Terengganu akan mengemukakan undi tidak peraya terhadapnya (Abdul Halim Mahmood 1983: 26) Para perwakilan melaungkan slogan “Murakbar Asri” sebelum beliau menyampaikan ucapan  Dasar. Pada 22 Oktober 1982 Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengemukakan usul tentang kepimpinan ulama’ dan penubuhan Majlis Syura Ulama’ PAS. Dewan Pemuda PAS telah mengemukakan usul supaya ucapan dasar Yang Di Pertua Agung PAS ditolak. Ketiga-tiga usul ini diterima oleh muktamar dan menjadikan ucapan dasar Yang Dipertua PAS yang pertama ditolak dalam sejarah PAS. Dato’ Asri dan rakannya telah menghantar surat perletakan jawatan dan menyerahkan kembali kepada muktamar pada petang 22 Oktober 1982 dan Tuan Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS  dengan laungan Allahu Akbar oleh perwakilan.21(Mohd, Fadli Ghani 2003: 149) 
 
 

Ucapannya ditolak kerana seolah-olah mengiktiraf apa yang dibuat oleh Dr Mahathir Muhammad. Antara kenyataanya “isu bank Islam dan Universti Islam Antarabangsa adalah antara isu-isu besar yang dicadangkan dengan gegak gempita di seluruh Negara, tetapi ia tidaklah seharusnya menyebabkan kita merasa terperanjat  dan terpesona, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh bersikap negatif terhadapnya dan memandang sepi dan buruk belaka kepada apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain dan tidak betul belaka dan semuanya dari orang lain buruk dan tidak betul belaka. Sudah seharusnyalah segala anggapan dan tanggapan kita kepada semua masalah hendaklah dilakukan secara objektif dan jujur sejajar dengan tugas kita yang berjuang dan mencapai kebenaran dan berjuang menghayati ajaran Islam. Kita mengalu-ngalukan hasrat mana-mana pihak pun juga sekiranya mereka benar-benar hendak menjadikan parti mereka sebuah parti Islam yang mahu memperjuangkan cita-cita untuk melihat tertegaknya kedaulatan Islam di dalam Negara ini22(Dato’ Mohd. Asri Haji Muda, 1982: 5) 

  1. Kenyataan ini menyebabkan Dato’ Asri sebagai  seorang demokrasi dan ahli politik yang tidak mahu mengambil pendekatan konfrantasi dengan pihak pemerintah. Pada beliau siapa yang buat   Islam maka harus disokong.23  Tetapi langkah memuji apa yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan dianggap berlawan dengan suasana kebangkitan dan semangat di kalangan anak-anak muda yang bersemangat untuk menghayati Islam yang syumul.Di tambah dengan kemarahan kepada UMNO yang berjaya menawan Kelantan daripada tangan PAS yang telah berkuasa 18 tahun. Dengan ucapan yang beliau buat telah menyebabkan perwakilan merasa tidak puas hati. Atas landasan inilah maka Dewan Pemuda PAS telah menolak ucapan dasar yang dibentang dan disokong oleh para perwakilan.  

Dato’ Asri sebagai seorang pemimpin PAS yang lama tetap juga merasakan bahawa ia tidak menerima peristiwa yang berlaku di Dewan Bahasa Dan Pustaka. Ketika beliau berucap di Kota Bharu beliau menyatakan antara lainnya bahawa terdapat  satu golongan dalam PAS yang cuba merosak dan menghancurkan parti, bahawa golongan ini cuba membawa semangat revolusi Iran ke negara ini, bahawa golongan ini mahu melihat PAS mencapai kejayaan di dalam masa yang singkat, bahawa disebabkan desakan golongan ini beliau terpaksa meletakkan jawatan, bahawa beliau masih tetap menjadi ahli Pas walaupun setelah meletakkan jawatan bahawasanya sekiranya orang mahu menyingkirkan beliau, maka akan bertemulah buku dengan ruas(Utusan Melayu, 19 Nov 1982: 2). 
 

Akibat keyataan itu maka Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib PAS yang bersidang pada 23 Januari 1983 telah memutuskan untuk mengambil tindakan tatatertib yang berkuatkuasa mulai dari hari itu keatas tiga belas orang. Tindakan disiplin yang diperuntukan dalam Perlembagaan telah menyebabkan dua dari ahli kumpulan 13 telah dipecat, lapan lagi digantung keahlian mereka di dalam PAS, manakala tiga yang lain hanyalah sekadar diberi amaran. Mereka yang dipecat ialah Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar, Dato’ haji Nik Abd Rahman pada waktu itu sebagai bendahari dan Pengerusi  Jawatankuasa Bertindak yang dikatakan untuk membela nasib Dato’ Asri Muda. Mereka yang telah dikenakan tidakan pergantungan keahlian adalah terdiri dari Haji Hassan Muhammad, Haji Mohd. Amin @ Abdul Hamid Salleh, Dato’ Asri haji Muda , Haji Mohd Fakaharudin  Abdullah, Haji Salahudin Abdullah, Haji Sha’ari Awang Ali, Haji Wan Ismail Ibrahim dan Haji Zahari Awang. Mereka yang telah dikenakan tindakan memberi amaran terdiri daripada Haji Mohd Zin Abdullah, Haji Wan Ibrahim Wan Abdullah dan Wan Sulaiman Ibrahim. (PAS/PA/0122(68) bertarikh 10 Rabiul Akhir 1403/24 Januari 1983) 

Apabila DatoِAsri tidak lagi memimpin Pas tahap fundemantalisnya berubah di bawah Ustaz Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadhil Noor dan retorik Naib Presidennya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. PAS selepas Asri cuba mengubah pandangan bahawa PAS bukan Asri dan Asri bukan PAS.24  Pemimpinnya cuba membuktikan bahawa PAS mampu berjalan di atas landasan yang ditegakkan sejak penubuhannya lagi.25  PAS telah memasuki era baru yang lebih terbuka sesuai dengan peredaran zaman. Malah amat tepat jika kita katakan kepimpinan beliau mendapat nafas baru dengan perubahan kepimpinan tradisi agar PAS benar-benar menonjolkan cita-cita Negara Islam seperti yang digariskan oleh perlembagaan PAS dan sesuai dengan roh gerakan Islam. (Kamarudin Jaafar, 2000: 5) Sekarang PAS cuba merealisasikan ia sebagai sebuah Harakah Islamiah yang unggul di negara ini, mampu menghadapi suasana dan ancaman semasa. Pimpinan Ulama’ telah membuka mata masyarakat bahawa PAS mampu menjadi alternatif di negara ini. Beberapa perwakilan dihantar untuk berjumpa dengan pelajar Malaysia di Timur Tengah, USA, Australia, United Kingdom. (Hussin Mutalib, 1990: 113, Haji Mohd. Fakhruddin Dato Haji Ghazali, 2003: 41, Kamarudin Jaafar, 2000: 5) 

Dewan Pemuda Pas yang mempelopori kepimpinan ulama’ pada tahun 1982 merupakan kumpulan pertama mengadakan baiah dengan kepimpinan ulama’ dalam Muktamar Tahunan Pas Ke 28 pada 23 Oktober 1982 (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS 1982-1983: 2) Pada 4-6 Mac 1983 Dewan Pemuda Pas Pusat telah menganjurkan Tamrin Kepimpinan Ulama’ di Temerloh yang bertujuan untuk memahami ahli-ahli dewan mengenai konsep kepimpinan ulama’. Tiga kertas kerja yang dibentang iaitu Konsep Kepimpinan Ulama’, Oleh Tuan Guru  Haji Abdul Hadi Awang, Struktur dan Bentuk Majlis Syura oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan Peranan Ulama’ Dan Belia di negeri-negeri oleh Ustaz Ramli Mohammad (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS 1982-1983: 3) 

Penampilan golongan Ulama’ meperjuangkan isu sejagat dan merentasi sempadan bangsa, agama dan geografi, “perjuangan umat Islam seluruhnya yang dipimpin oleh harakah Islamiah perlu mengkaji semula pendekatannya supaya perjuangan Islam tidak hanya melingkari batasan kehidupan orang-orang Islam sahaja. Bahkan Gerakan Islam hendaklah berani tampil ke hadapan membicarakan masalah manusia seluruhnya, sesuai dengan sifat dan risalah Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Pendekatan yang tertutup sebenarnya tidak serasi dengan tabiat risalah Islam yang universal itu”. (Haji Yusf Rawa 1985:  57

Jelaslah dibawah kepimpinan Ulama’ , PAS telah  memasuki era yang lebih terbuka sesuai dengan peredaran zaman. Malah tepat kalau kita nyatakan bahawa di bawah kepimpinan Ulama’  PAS mendapat nafas baru yang lebih radikal dengan pendekatan baru untuk menegakkan cita perjuangan.26 
 

Apabila kepimpinan Ulama’  dilaksanakan maka terdapat tuduhan PAS telah mengimport revolusi Iran.27 Maka terdapat tuduhan bahawa kepimpinan Ulama’  dalam PAS telah mengambil corak apa yang dilakukan oleh Ulama’  Iran. Menurut Datuk Asri PAS telah terpengaruh dengan Iran

“…..the new Pas leaders were obsessed with the idea  of shi’ite rule and would adopt the Iranian system by violent means if necessary” (Asia Week 3 Dis 1982: 7) “……sikap ekstrim yang dilahirkan oleh setengah kalangan, terutama di kalangan Dewan Pemuda PAS yang telah mengadakan muktamar tahunanya secara berasingan di Bukit Mertajam, dan pro revolusi Iran telah berjalan dengan rancak sekali dan merebak dengan cepatnya kedalam sebuah organisasi  PAS sehingga tidak mampu dibendung lagi. Demikian pula suasana yang berlaku dalam muktamar tahunan PAS dengan menunjulnya revolusi Iran yang dilaung dan dipamerkan (Asri 1993: 114, Mastika Januari 83: 8-12, Utusan Malaysia 2April 1982: 2) 
 
 

Dewan Pemuda Pas yang mempelopori kempimpinan ulama’ telah mengadakan lawatan rasmi ke Iran  sebagai mewakili gerakan Islam di Malaysia untuk mengiktiraf kejayaan kepimpinan ulama’ di Iran. Rombongan ini disertai oleh Haji Subki Abdul Latif setiausaha Dewan Pemuda Pas dan dua orang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat Ustaz abu Bakar Chik dan Ustaz Suhaimi Haji Ahmad (penyata Tahunan Dewan pemuda PAS, 1981-1982: 6). Pada bulan Jun 1982 sekali lagi Dewan pemuda Pas mengadakan lawatan ke Iran dengan diketuai oleh Mustafa Ali dan Mohd Rusdi Arif untuk meninjau keberkesanan kepimpinan ulama’(Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat, 1981-1982:  6). 

Hasil daripada lawatan inilah Dewan Pemuda membuat rumusan bahawa ulama’ mempunyai kekuatan tersendiri dalam memimpin umat Islam dan Gerakan Islam di Malaysia. Dan Pas juga perlu kepada ulama yang memimpin kalau hendak menarik sokongan. Menurut Subki Latif28  lagi bahawa kepimpinan Ulama’  bukan terpengaruh dengan Iran. Tetapi ia lahir dari rasa kebimbangan kepimpinan PAS yang dipimpin oleh Dato’Asri yang bertindak sebagai kepimpinan peribadi tanpa membincangkan satu perkara yang besar dalam parti. Kesemua ini berlaku kerana yang memimpin Pas bukan dari kalangan ulama’.  

Apabila soalan ditanya kepada Fadhil Noor apakah Pas hendak ikut Iran? Beliau menjawab kita akan ikut negara yang pegang polisi al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulama’ .(Mastika Jan 83: 17) Pemimpin Umno menuduh Pemimpin PAS suka pergi ke Iran maka Haji Hadi jawab “we go every where we see every body and we talk about all things” (New Strait Times 13 November 1983: 4) 
 

Sungguh pun begitu Pas menyifatkan mereka hanya menjadi perjuangan Ulama’  Iran sebagai sumber aspirasi sahaja  dan tidak lebih daripada itu. Ini dapat dilihat dari kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang menyifatkan perjuangan Ulama’  Iran sebagai pemimpin Islam yang perlu dicontohi malah beliau turut mengakui sering mendengar meniru ucapan pemipin Iran itu.(Dunia Islam Feb 1995: 19)  

Sungguhpun begitu adalah sukar untuk mentafsirkan perjuangan PAS diresapi semangat dari Iran kerana dalam banyak perkara suasana di Iran dan di Malaysia adalah jauh berbeza. Ini diakui oleh Yusuf Rawa,  bahawa memang apa yang berlaku di Iran memberi rangsangan kepada PAS  tetapi revolusi tidak sesuai untuk di import ke Malaysia(New Strait Time 4 Jan 83: 5)  

Oleh kerana ada kelainan corak pembawaan daripada sebelumnya maka dijawab oleh Ustaz Haji Yusuf Rawa,

“tidak ada perbezaan PAS dahulu dan sekarang cuma PAS sekarang hendak mempraktikkan undang-undang tubuhnya, dahulu tidak berapa jelas. Ini merupakan matlamat utama PAS kearah pembentukan sebuah pemerintahan Islam”.(Sarina Jun 1986: 10)  

Begitu juga sukar untuk membuktikan PAS telah menerima doktrin Syicah dalam perjuagan mereka. Tindakan PAS  memecat ahlinya yang disyaki terlibat dengan kegiatan Syicah membuktikan PAS tidak mahu dikaitkan dengan ajaran syicah. Seramai lapan orang ahli PAS di Perak telah diambil tindakan tatatertib iaitu Ustaz Ahmad Jildbaz Mukhlis bin Mokhtar Ghazali, Sdr. Munawir Mahmud, Sdr. Mohd Zain b. Abdul Rani, Saudara Ariff Muhammad, Saudara Shamsuddin Razali, Saudara Zulkifli Said dan Saudara Razali Kassim(PAS/PA/1.06/1.03/97-98(8) bertarikh 12Zulhijjah 1418/9 April 1998) 

Bagi mengesahkan kepimpinan Ulama’  di peringkat PAS Pusat maka  pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke 29 pada pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulama’ .29  Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan  pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik(Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:  4-9).  dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am Pas pertama  pada Nov 1987 (Harakah,  27 November 1987: 1) 
 

Majlis ini berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam. Ustaz Haji Yusuf Rawa menegaskan penubuhan ini untuk mengembalikan peranan Ulama’  sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusuf Rawa, 1987: 18). 

About these ads

2 comments on “SEJARAH KEPIMPINAN ‘ULAMA’ DALAM PAS

  1. Pingback: Sejarah Kepimpinan Ulama’ dalam PAS! « instinctive-stage G3.0

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s