SELESAI MELALUI MUSYAWARAH


Sekali lagi musuh Pas kecewa apabila hendak melihat Pas berpecah dan bergaduh sesama sendiri. Mereka sakit hati apabila melihat Pas tenang dan maju ke depan. Kalau boleh biarlah Pas bergaduh seperti mereka bergaduh, dengan ini senang mereka meneruskan agenda menindas rakyat.  Perlu diingat perjuangan Pas ialah perjuangan yang suci, iaitu perjuangan yang mengharapkan Allah dan balasan di syurga. Siapa yang ada di dalam diri mempunyai maksud yang lain ia akan tersingkir atau menyingkir diri daripada perjuangan Pas.

Niat suci bersama dengan Pas ialah untuk melihat Islam didaulatkan di atas muka bumi ini. Ini yang menjadi ikatan kepada pejuang-pejuang Pas selama ini. Perjuangan bukan kerana individu, tetapi kerana  dasar yang diperjuangkan oleh Pas. Apa yang berlaku di dalam Pas ialah sebagai satu proses kematangan berorganisasi dan menguji kebijaksanaan pemimpin mengurus organsiasi Pas yang semakin matang dan tertua di negara ini.

Kebijaksanaan pemimpin Pas menguruskan organisasi dalam suasana tenang dan krisis adalah satu kelebihan. Kadang-kadang perkara ini tidak ada di dalam buku tetapi ia diperolehi melalui pengalanan dan latihan yang berterusan.

Umno cuba untuk mencari kesempataan untuk menangguk di air keruh. Media mereka tidak pernah pencen daripada melagakan dan menimbulkan keraguan  kepada musuh dan ahli Pas mengenai dakwaan ada di kalangan pemimpin Pas hendak menyertai umno. Pemimpin umno cuba menghulur tangan seperti hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong untuk mengajak supaya Pas bersatu.

Mereka mengatakan bahawa Pas mempunyai masalah dalaman dan berpuak-puak dalam Pas. Telahan ini sengaja dilemparkan untuk memesongkan rakyat dari melihat apa yang berlaku di dalam Umno yang mengidap penyakit rasuah yang tidak boleh diselesaikan sampai hari ini. Masalah dalaman parti kompenan BN, seperti MCA dengan krisis moral dan rasuah di kalangan pimpinanya, MIC dengan krisis kepercayaan terhadap presidennya, parti PPP dengan dua presiden.

Di dalam Pas tidak pernah baling kerusi, tembak menembak,  FRU terpaksa mengawal, kena pukul kepala, membunuh sesama sendiri. Tetapi ia dapat diselesaikan dengan baik dan bertanzim dengan semangat  musyawarah dan  muhasabah.

Kita akur bahawa media mempunyai kuasa untuk mempengaruhi persepsi orang ramai untuk membuat pendirian dalam satu isu dan sokongan. Sebab itu selepas daripada PRU 12 Umno sudah ada Cybertrooper umno untuk berada di gerbang maya bagi membentuk persepsi yang salah terhadap perjuangan Pas. Kita mengharapkan supaya ahli Pas mengawasi segala apa yang dilakukan oleh musuh-musuh Pas di gerbang maya.

Ketika berlaku isu Kerajaan Perpaduan, isu ini telah menimbulkan kegelisahan di kalangan ahli Pas dan penyokong Pakatan Rakyat, namun akhirnya dapat diselesaikan dengan baik.  Mereka menyangka Pas akan hancur dan berkecai, namun hajat mereka tidak kesampaian.

Mesyuarat khas yang berlangsung pada 28hb Oktober 2009 rabu malam khamis, berjalan dengan semangat ukhwah dan berlapang dada. Tuan Guru Mursyidul Am dengan keadaan yang uzur dan sibuk dengan urusan negeri, tetapi hadir juga ke majlis tersebut untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku. Seperti yang dijangka  apabila majlis yang penuh mahabbah untuk melihat Islam dijulang berakhir dengan keputusan untuk mengaadakan  Seminar Khas bagi menerangkan isu-isu dan strategi semasa parti di Dewan Almarhum Dato’ Fadzil Noor, Markas Tarbiyyah Taman Melewar, bermula jam 8 pagi pada 7 November 2009.

Inilah rahsia parti Pas yang boleh menyelesaikan masalah parti dengan baik. Di antaranya ialah;

Pertama, kerana Pas mempunyai manhaj yang jelas, iaitu al-Quran,  Hadis, ijma’ dan qias. Maka segala perkara yang diputuskan dalam menghadapi kemelut politik atau pentadbiran ialah dengan merujuk kepada perkara tersebut

Kedua, qiadah (kepimpinan) yang berkualiti yang mempunyai skil dan wawasan yang jelas iaitu untuk memimpin umat di negara ini. Pemimpin yang tahan diuji dengan berbagai asakan daripada berbagai sudut.

Ketiga, ialah ahli yang taat. Hasil daripada tarbiah yang dilalui oleh ahli  yang begitu komited dengan perjuangan. Mereka tidak menuntut habuan dunia, yang mereka hendak melihat ialah Isalm subur di atas muka bumi ini.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru kepada semua pimpinan dan ahli agar tidak lagi mengulas atau menimbulkan spekulasi dan persepsi berhubung isu Kerajaan Perpaduan yang diangggap tidak berbangkit lagi. Sebarang isu yang timbul hendaklah dirujuk kepada pimpinan dan ahli dinasihatkan agar tidak lagi melayan atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih kepada khalayak hingga menimbulkan persepsi yang negatif terhadap parti.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” – (Surah Al-Hujurat 49 : 6)
 

Maka, sebarang aduan berhubung salah laku pimpinan dan ahli hendaklah dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parti dan tidak perlu lagi disebarkan melalui ceramah, penulisan atau ulasan dalam akhbar, blog atau media lainnya hingga memberikan kesan buruk terhadap persepsi ahli dan rakyat keseluruhannya terhadap Pas.

Pas yakin bahawa setiap isu yang timbul dapat diselesaikan dengan baik melalui jalan musyawarah dan kita mempunyai tanzim yang terbaik dalam menghadapinya melalui panduan Al-Quran dan Sunnah.

2 comments on “SELESAI MELALUI MUSYAWARAH

  1. Salam Ustaz.

    Saranan ana agar semua pimpinan, MP atau ADUN PAS dapat menghentikan penggunaan blog peribadi sebagai bahan media menyalurkan pendapat kerana setiap pimpinan/MP/ADUN adalah mewakili parti PAS yang sudah semestinya perlu menurut lunas-lunas perundangan parti PAS sendiri. Permasalahan wujud jika setiap pimpinan membuat ulasan peribadi namun ia akan dianggap dari parti oleh umum termasuk ahli bawahan. Wujudkan hanya blog PAS cawangan, kawasan @ Pusat yang penulisnya dikenalpasti agar tidak timbul perbalahan di kemudian hari.

  2. Assalamu’alaikum.
    Ust, saya amat bersetuju dengan kenyataan ust bahawa semua pimpinan PAS hendaklah menjadi jurucakap PAS sahaja. Adapun pendapat pribadi hendaklah dikemukakan dalam majlis-majlis mesyuarat tertutup sesama pimpinan parti. Saya adalah ahli PAS yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam PAS. Saya ingin mengemukakan sedikat pandangan kepada pimpinan PAS “KEARAH MEWUJUDKAN PERSEPSI POSITIF DI KALANGAN RAKYAT TERHADAP PERJUANGAN PAS DAN PAKATAN RAKYAT”
    Assalamu’alaikum
    1. Saya gembira dengan ketegasan Tok Guru dan kepimpinan tertinggi PAS terutamanya dalam hal menolak konsep ‘kerajaan perpaduan’. Konsep ini hanya akan menjadi talian hayat kepada UMNO dan menyebabkan UMNO akan terus sesat dan tidak akan berubah kepada perjuangan Islam. Yang ruginya adalah gerakan Islam kerana konsep tersebut akan membantutkan usaha kearah melaksanakan syariat Islam.
    2. Dalan tahun awal 80-an dahulu, bertempat di Dewan Zulkifli dalam satu program anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan Tuan Guru menasihati kami (Pemuda PAS ketika itu) bahawa kita wajib sayang kepada orang-orang UMNO, kerana mereka adalah adik-beradik kita, ibubapa kita, anak-anak kita, mak saudara dan pak saudara kita, kerana dalam keluarga kita ada PAS dan ada UMNO.
    3. Tok Guru bertanya, bagaimana cara kita nak tunjukkan sayang kita kepada mereka? Dan Tok Guru sendiri menjelaskannya; UMNO mengamalkan dasar pragmatik, iaitu dasar hanyut mengikut arus. Bila ramai rakyat hendakkan nasionalis maka mereka akan jadi nasionalis. Bila ramai rakyat hendakkan sosialis mereka akan berubah kepada sosialis. Mereka akan berubah mengikut sentimen rakyat untuk menjamin sebahagian besar rakyat mengundi mereka dan mereka akan terus berkuasa di Malaysia.
    4. Tok Guru menjelaskan lagi bahawa kita mesti menggunakan peluang pragmatiknya umno ini untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan melaksanakan syariat Islam dengan cara kita melawan UMNO habis-habisan dan serentak dengan itu kita juga mesti menyampaikan seruan dakwah kita kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa syariat Islam adalah syariat yang terbaik dan sempurna kerana ianya ciptaan Allah swt untuk manusia mengamalkanya di dunia ini bagi mencapai kesejahteraan hidup dan keredhaanNYA.
    5. Tok Guru kata, usaha dakwah kita hendaklah berterusan sehingga dapat membentuk sentimen dikalangan sebahagian besar rakyat yang inginkan sebuah pemerintahan Islam. Dan ketika itu UMNO akan tertekan. Mereka akan dapat merasakan bahawa mereka akan mengalami kekalahan dalam pilihanraya sekiranya mereka tidak mengubah dasar parti mereka kepada Islam. Insya Allah pada ketika itu mereka akan berubah kepada perjuangan Islam. Walaupun mereka berubah untuk menjamin kesinambungan pemerintahan mereka, namun oleh kerana mereka telah mengubah dasar mereka kepada Islam, maka kita akan bersatu bersama mereka untuk menyokong dan mendokong usaha membentuk sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.
    6. Saya yakin apa yang Tok Guru nyatakan itu bukan sekadar tiori semata-mata, tetapi merupakan suatu kaedah yang terbaik dalam sistem demokrasi dan dibenarkan oleh Islam untuk mencapai kemenangan. Insya Allah Islam akan tetap mencapai kemenangan.
    7. Dalam perkara pemperbetulkan persepsi rakyat terhadap PAS, kita perlu mengkaji dahulu kenapakah mereka berpersepsi sedemikian. Mengikut pemerhatian saya, ada beberapa perkara yang menyebabkan wujudnya keadaan sedemikian:
    a. Kewibawaan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi sedikit terjejas apabila beliau mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama BN dan mendakwa PKR dan DAP sudah bersetuju dengan konsep Kerajaan Perpaduan tersebut. Lebih menjejaskan lagi kewibawaannya apabila Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa Haji Hadi perlu jawab bukan sahaja kepada PKR dan DAP, tetapi perlu jawab juga kepada Tuhan.
    b. UMNO telah berjaya mengeksploitasi isu Kerajaan Perpaduan bagi mengaut simpati dan sentimen rakyat untuk kembali menyokong perjuangan UMNO. Pemimpin UMNO berterusan menjemput pimpinan PAS untuk berunding dan bermesyuarah dengan mereka bagi mewujudkan perpaduan di kalangan umat Melayu dan Islam, manakala PAS pula berterusan menolaknya tanpa hujah yang kuat yang boleh diterima rakyat. Bagi orang-orang PAS yang sering mengikuti kuliah dan laman blog Tok Guru dan kepimpinan PAS yang lain tidak menjadi masalah untuk mereka memahaminya. Tetapi bagi golongan yang tak pernah mengikuti kuliah pemimpin PAS dan tak pernah menjengok laman blognya tentunya sukar bagi mereka untuk memahaminya. Jika Dr. Asri (bekas mufti) yang terlibat dengan perjuangan Islampun tak faham kenapa PAS menolak dan menutup pintu rundingan dengan UMNO demi perpaduan sesama umat Islam, bayangkanlah bagaimana sebahagian besar rakyat Malaysia yang tak terlibat dengan perjuangan Islam akan dapat memahaminya. Dr. Asri bertanya (dalam blognya); apakah kerana mendendami kezaliman UMNO yang lalu?
    c. Saya pohon maaf kepada Tok Guru kerana berpendapat tulisan Tok Guru dalam laman blog yang mencadangkan diadakan EGM bagi menyingkirkan beberapa pemimpin utama PAS juga menyebabkan bertambahnya lagi persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap PAS. Kepimpinan PAS kelihatan seolah-olah tak berdisiplin dan tak berperaturan.
    d. PAS agak ’senyek’ dalam memperkatakan matlamat perjuangannya untuk melaksanakan syariat Islam sejak bersama Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya apa sudah jadi dengan matlamat perjuangan PAS? Jika matlamat untuk memperjuangkan syariat Islam telah digugurkan, apa lagi yang membezakan PAS dengan UMNO?
    e. Isu bai’ah. Adakah pimpinan PAS hanya berbai’ah untuk setia kepada parti dan tidak berbai’ah dalam hal menyimpan rahsia parti?
    f. Program-program tarbiah di peringkat cawangan agak lesu terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.
    8. Dalam hal menutup pintu rundingan dengan UMNO, pada pandangan saya ianya hendaklah dinyatakan bersama dengan hujah-hujah yang konkrit dan syar’ie. Jika hujah tak kuat, simpati dan ’mood’ rakyat terutama yang di atas pagar akan berpindah kepada UMNO kerana UMNO kelihatan lebih terbuka dan inginkan perdamaian. Rasanya PAS perlu meletakkan syarat kepada UMNO supaya menunjukkan komitmennya dalam pelaksanaan syariat Islam (termasuk hudud) di Malaysia untuk berunding dengan PAS. Lebih elok lagi kalau pehak PAS yang mencadangkan kepada UMNO untuk menganjurkan seminar dengan tajuk ”Kearah Perlaksanaan Syariat Islam Yang Syumul Di Malaysia”.
    9. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Tok Guru bahawa perjuangan UMNO tidak akan membawa rakyatnya ke syurga. Bagaimanapun rakyat perlu diberitahu dengan nas dan dalil yang lengkap betapa sesatnya perjuangan UMNO. Rasanya tidak cukup sekadar mengatakan UMNO sesat kerana mereka berpendirian ’agama suku dan politik suku’, kerana mereka telah kalih dengan hujah ini. Kebanyakan golongan muda tidak memahaminya. Mereka menganggap Islam mereka telah sempurna dengan mengamalkan lima rukun Islam serta beriman dengan enam rukun Iman. Ulama’ UMNO yang mengajar mereka begitu. Rakyat perlu diberitahu dengan tegas bahawa berjuang untuk melaksanakan hukum Allah (hudud) adalah wajib dan berdosa kalau mengabaikannya. Rakyat juga mesti diperingatkan sekali lagi (terutama golongan muda) bahawa apa sahaja usaha untuk menghalang golongan yang berusaha hendak melaksanakan hukum Allah boleh membawa kepada murtad.
    10. Rakyat juga perlu bukti bahawa ’PAS FOR ALL’ bukan sekadar slogan PAS. PAS perlu menterjemahkan slogan tersebut menjadi suatu program yang dirangka khas sebagai ’Pelan Perpaduan Ummah Yang syumul’ dan tersendiri yang bukan sahaja berupaya menyatu-padukan umat Islam di Malaysia sekadar di dunia, bahkan Insya Allah akan membawa mereka ke syurga di akhirat nanti. Pelan Perpaduan Ummah anjuran PAS bukan sahaja untuk umat Islam, tetapi melibatkan juga semua kaum di Malaysia. Rakyat perlu diyakini bahawa kita menentang UMNO bukan kerana kita membenci mereka, bahkan kita menentang mereka kerana kita sayangkan mereka dan ingin membawa mereka ke pangkal jalan yang sebenar yang diredhai Allah swt. Apapun yang kita lakukan adalah demi kasih sayang kita kepada mereka. Insya Allah simpati rakyat akan bersama kita. Tetapi yang lebih penting ialah keredhaan Allah swt. Kepada perjuangan kita.
    11. Solat hajat perdana di seluruh negara hendaklah diadakan untuk memohon agar Allah swt membuka pintu hati pimpinan UMNO bukan sahaja supaya membayar wang royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan, tetapi turut juga membuka pintu hati mereka untuk menerima dan melaksanakan syariat Islam sepenuhnya.
    12. Saya masih ingat dan amat kagum dengan jawapan Tok Guru kepada wartawan yang bertanyakan pendirian Tok Guru mengenai usaha YM Tengku Razaleigh menjemput DAP untuk bersama Angkatan Perpaduan Ummah menentang BN dalam pilihanraya umum tahun 1990 dahulu. Tok Guru jawab: Alhamdulillah, saya amat bersetuju dan merasa gembira dengan perkembangan ini. PAS memperjuangkan syariat Islam, manakala DAP pula menentang pelaksanaan syariat Islam tentunya mustahil PAS dan DAP boleh duduk bersama. Alhamdulillah dengan adanya Semangat 46, PAS & DAP akan dapat duduk bersama dan PAS akan menggunakan kesempatan ini untuk menerangkan tentang Islam yang sebenar kepada mereka. DAP menentang Islam kerana mereka tak faham akibat sabotaj daripada UMNO sendiri yang menakut-nakutkan orang-orang bukan Islam dengan syariat Islam. Inilah jenayah terbesar yang dilakukan oleh UMNO kepada perjuangan Islam. Sudah lebih setengah abad UMNO berkongsi kuasa dengan kaum bukan Islam tapi tak pernah UMNO menerangkan ’Konsep Perjuanagan Islan’ atau ’Konsep Keadilan Dalam Syariat Islam’ kepada mereka. Sebaliknya UMNO telah mengadakan berbagai alasan yang boleh menakutkan orang-orang bukan Islam untuk menerima syariat Islam.
    13. Alhamdulillah, tak sampaipun 20 tahun DAP berkawan dengan PAS walaupun kadang-kala hubungan itu berlangsung dalam keadaan tegang dan pernah putus dan kemudian bertaut kembali, Alhamdulillah kefahaman mengenai kebaikan syariat Islam di kalangan orang-orang bukan Islam semakin baik. Bahkan kebanyakan pimpinan DAP telah menyatakan persetujuan mereka kalau syariat Islam dilaksanakan untuk umat Islam di Malaysia. Yang menentangnya hanyalah Karpal Sing dan beberapa orang sahaja lagi. Inilah hakikat yang perlu di warwarkan kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia.
    14. Rasanya sudah sampai masa yang sesuai bagi PAS untuk kesekian kalinya sekali lagi mencadangkan kepada UMNO secara rasmi untuk berbincang atau berseminar bagi merangka ’Pelan Tindakan’ atau ’Blue Print’ untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya di malaysia. Kalau program Wawasan 2020 boleh dirangka untuk mencapai hasrat menjadi negara maju, apakah alasannya lagi bagi UMNO untuk menolak cadangan PAS merangka ’Pelan Strategik’ bagi melaksanakan syariat Islam untuk mencapai keredhaan Allah? Kalau sebahagian besar orang-orang Cina dan India telah bersetuju agar syariat Islam dilaksanakan untuk masyarakat Islam, adakah Meleyu UMNO masih ada hujah untuk menolaknya? Kalau UMNO terima Alhamdulillah. Kalau UMNO tolakpun Alhamdulillah juga kerana kita akan mendapat pahala serta Insya Allah simpati dan ’mood’ rakyat yang mempunyai roh Islam akan bersama kita.
    15. Mengaktifkan Lajnah Perang Saraf dan Lajnah Penerangan untuk mengkaji dan menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli penal yang pro UMNO dalam forum-forum yang disiarkan secara langsung oleh RTM, TV3 & ASTRO. Seeloknya komen atau soalan hendaklah dibuat secara langsung juga. Ini akan menghidupkan lagi perbincangan dan para penonton akan mendapat jawapan sebenar dalam isu-isu yang dibangkitkan. Akhbar-akhbar parti Pakatan Rakyat seperti Harakah dendaklah menyediakan satu kolum untuk Lajnah Penerangan menjawab isu-isu tersebut secara ringkas dan tepat.
    16. Lajnah Kebajikan di peringkat kawasan dan cawangan hendaklah diaktifkan lagi bagi mengumpulkan segala permasaalahan rakyat setempat. ’Jawapan’ segala permasaalahan tersebut akan menjadi pemangkin untuk rakyat memberikan sokongan (undi) kepada perjuangan kita.
    17. Dulu (awal 80-an) Ust. Halim selalu menyebut ’Menyerang adalah merupakan teknik mempertahankan diri yang terbaik’. Jadi dalam situasi sekarang kita jangan sahaja leka menjawab tohmahan dan fitnah yang direka UMNO, kita juga mesti menyerang UMNO dengan hujah-hujah dan dilil yang benar dalam segala aspek baik syariat maupun perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah.
    18. Pakatan Rakyat sedang merangka cadangan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat secara rasmi sebagai satu organisasi dengan menggunakan satu lambang. Perkara yang amat penting untuk dimasukkan dalam objektif penubuhannya ialah pelaksanaan Syariat Islam walaupun hanya untuk orang-orang Islam sahaja. Jika perkara ini dapat dilakukan, Insya Allah PAS akan dapat memulihkan keyakinan umat Islam bahawa PAS memang benar-benar berjuang untuk melaksanakan syariat Islam.
    19. Dalam hal tarbiah, saya mencadangkan agar pimpinan tertinggi PAS di peringkat pusat mengarahkan semua ahli PAS terutamanya yang memegang jawatan, samada di peringkat kawasan atau cawangan supaya masing-masing menempatkan diri dalam dua keadaan; samada ’mengajar’ (memberi kuliah) atau ’mengaji’ (mendengar kuliah) secara aktif sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kalau mereka tak mampu mengajar, maka mereka wajib mengaji. Ahli-ahli PAS juga perlu digalakkan berpuasa pada setiap hari isnin dan khamis. Sekali-sekala adakan majlis ’Penerangan & Berbuka Puasa’ bersama kepimpinan PAS. Kalau perkara ini dapat dilaksanakan, Insya Allah perkembangan PAS akan menjadi lebih pesat lagi dan masyarakat akan dapat menilai betapa baiknya menjadi ahli PAS. Simpati dan ’mood’ rakyat juga akan bersama PAS.
    20. Pimpinan PAS peringkat negeri juga perlu menyusun Jadual Tahunan untuk turun ke Medan Kuliah di semua kawasan sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk menyampaikan perkembangan terkini parti. Jadual Lawatan Pimpinan Negeri ke kawasan hendaklah disebarkan ke semua cawangan dan AJK peringkat cawangan, pemuda dan muslimat hendaklah diwajibkan hadir kemajlis tersebut. Jika perkara ini dapat dilakukan, Insya Allah akan wujudlah keselarasan dan kasatuan fikrah di kalangan pimpinan dan ahli-ahli PAS.
    21. PAS hendaklah merancang program-program hiburan yang diharuskan dalam Islam untuk dilaksanakan secara berkala di seluruh negara sebagaimana yang pernah dilaksanakan di Kelantan. Setiap program hendahlah dimulakan dengan solat maghrib, solat isyak dan solat hajat secara berjamaah. Tempat duduk penonton hendaklah diasingkan di antara penonton lelaki dengan penonton perempuan dan yang berkeluarga.
    22. Dalam perlawanan-perlawanan bola sepak yang diadakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, sebaik-baiknya dianjurkan solat maghrib dan solat hajat secara berjamaah serta tazkirah kepada para penonton agar jangan mengabaikan solat fardhu walau dalam keadaan bagaimana sekalipun dan menjaga adab-adab kesopanan sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Imam sebaiknya hendaklah di kalangan pimpinan PAS negeri atau sesiapa sahaja yang layak dan sesuai. Perkara ini hendaklah dipelopori oleh Pemuda PAS sendiri sebagai sebuah gerakan Islam yang terlibat secara langsung bukan sahaja dalan siasah tetapi juga mencakupi bidang tarbiah. Biasanya program-program tarbiah yang dianjurkan hanyalah melibatkan jawatankuasa PAS sahaja. Jadi sudah sampai masanya sekarang pehak PAS khususnya Pergerakan Pemuda PAS merancang program-program yang melibatkan semua golongan tanpa batasan politik. Dalam keadaan beginilah, di mana terhimpunnya segala ’spesis’ manusia dari segenap ceruk negeri datang untuk menyaksikan pertandingan sukan yang mereka gemari. Rugilah kalau kita tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk berdakwah demi membentuk akhlak mereka. Rasanya Pergerakan Pemuda PAS Negeri Kelantan boleh menjadi peneraju dalam perkara ini.

    Sekadar itulah sahaja pandangan saya. Dipohonkan berbanyak kemaafan daripada Tok Guru, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan kepimpinan PAS yang lain. Saya berkeyakinan bahawa semua pimpinan PAS yang ada pada hari ini adalah merupakan saf pimpinan yang terbaik untuk menggerakkan jentera parti kearah mencapai matlamat perjuangan yang diredhai Allah. Semoga Allah swt menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan kepada Tok Guru dan semua pimpinan PAS dalam melaksanakan amanah perjuangan.
    Sekian, Wassalamualaikum wr wbrt.
    Daripada: Hanafi bin Ismail
    Gua Musang, Kelantan.
    Tel: 09-9171323(R) 09-9171221(P)

Tinggalkan komen