Cadangan kawal jualan arak


Oleh Mohd Termizi Ismail

Hukuman dan penalti bagi peminum arak

Para ulama fekah bersependapat menyatakan bahawa hukuman bagi orang yang minum arak ialah dirotan. Namun para ulama berbeza pendapat tentang kadarnya. Ada yang mengatakan bahawa hukumannya ialah sebanyak lapan puluh kali rotan. Ini adalah pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Manakala Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad mengatakan bahawa hukuman bagi kesalahan tersebut ialah sebanyak empat puluh kali rotan. Walaupun demikian boleh juga pesalah itu dikenakan rotan sebanyak lapan puluh kali jika pada pendapat pemerintah pesalah itu patut dirotan sebanyak tersebut.

Jadi hukuman hadnya ialah empat puluh kali, manakala yang selebihnya adalah dianggap sebagai hukuman ta’zir.

Punca perselisihan di kalangan mereka ialah disebabkan kerana hukuman bagi kesalahan had minum arak tidak diterangkan secara jelas di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis dan athar (pendapat) para sahabat.

Sesungguhnya dalam al-Quran ada disebutkan tentang pengharaman arak tetapi tidak menetapkan hukuman had kepada peminum-peminum arak. Begitu juga Nabi Muhammad tidak menetapkan kadar yang tertentu.

Ada kalanya baginda merotan pesalah tersebut hanya beberapa kali sebatan, tetapi tidak melebihi daripada empat puluh kali sebatan. Kemudian Sayidina Abu Bakar pula menghukum peminum-peminum arak sebanyak empat puluh kali sebatan.

Diriwayatkan daripada Ibn Said al-Khudri dan Ali bahawa Nabi Muhammad menghukum orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebatan.

Apabila tiba pada zaman Sayidina Umar, maka beliau meminta nasihat daripada para sahabat lalu Abdul Rahman bin Auf berkata (maksudnya): Seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebat, kemudian Umar pun menetapkan hukuman itu sebanyak 80 kali dan para sahabat semuanya setuju dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak.

Undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi peminum arak di Selangor

Peruntukan tentang hukuman minum arak telah dikanunkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri di Malaysia. Dari sudut pentadbiran undang-undang bagi kesalahan minum dan menjual arak terdapat dua insitusi seperti jabatan agama Islam negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berdasarkan kepada peruntukan yang terkandung dalam enakmen negeri masing-masing, jabatan agama Islam negeri hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam yang meminum arak dan minuman lain yang memabukkan, sama ada minum di mana-mana kedai atau di tempat awam, atau menjual, menawarkan jualan, atau mempamerkan sesuatu yang berkaitan dengan arak, menyimpan dan juga membeli adalah menjadi satu kesalahan.

Di negeri Selangor, peruntukan ini terdapat dalam seksyen 18 (1) dan (2):

Seksyen 18 (1)
Mana-mana orang Islam yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2)
Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala dari sudut hukuman, mereka yang melakukan kesalahan yang dinyatakan di atas jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda sama ada tidak melebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang membabitkan premis jualan arak yang melanggar peraturan yang ditetapkan ia adalah terletak di bawah bidang kuasa PBT di negeri masing-masing. Pihak jabatan agama Islam tidak akan terlibat dengan apa jua yang berkait dengan premis jualan sama ada untuk menutup, menghalang jualan, menghadkan lesen jualan, menyita dan lain-lain lagi.

Ini kerana hal-hal yang berkaitan dengan premis adalah di bawah bidang kuasa PBT. Justeru, PBT adalah satu-satunya pihak yang bertanggungjawab untuk membuat segala peraturan dan kawalan yang berkaitan dengan kaedah jualan, pengeluaran lesen jualan, bilangan premis yang dihadkan dan peraturan-peraturan lain yang dilihat bercanggah dengan hukum syarak, khususnya bagi kesalahan yang dilakukan oleh pihak yang beragama Islam.

Bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor walaupun pada hakikatnya terhad dan sempit, namun berdasarkan kepada peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Jabatan Agama Islam Selangor mempunyai bidang kuasa untuk membuat serbuan di kilang-kilang arak yang besar di sekitar Lembah Klang yang difahamkan ramai pekerjanya yang terdiri daripada masyarakat Islam.

Begitu juga boleh dicadangkan Jabatan Agama Islam negeri mengambil tindakan ke atas premis yang menjual arak, yang turut membabitkan orang Islam, sama ada di hotel, kelab-kelab eksklusif, pasar raya, begitu juga di kedai-kedai serbaneka seperti 7-Eleven, pasar mini 99 dan lain-lain dan yang mencampuradukkan arak dengan minuman ringan lainnya.

Peruntukan ini terdapat dalam Seksyen 18(2) yakni menjual atau mempamerkan minuman yang memabukkan adalah satu kesalahan.

Penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam

Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia, setiap penganut agama mempunyai hak mereka sendiri. Mereka yang bukan Islam mempunyai hak untuk makan dan minum perkara-perkara yang tidak dibenarkan ke atas umat Islam. Antaranya ialah arak.

Bagi umat Islam pula mempunyai hak agar mereka dihormati dalam perkara pengendalian arak. Namun perlu diketahui bahawa agama lain juga tidak menggalakkan penganutnya minum secara berlebihan, biarpun mereka tidak mengharamkannya.

Penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam adalah diharuskan kerana ia adalah minuman bagi mereka. Agama Islam tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam sama ada menjual atau meminumnya.

Kerajaan Islam yang memerintah tidak boleh menghentikan atau menyekat penjualan arak di kalangan masyarakat bukan Islam. Malah minuman keras itu dibenarkan diimport oleh orang bukan Islam.

Namun pelaksanaannya hendaklah disesuaikan dengan undang-undang negeri berkenaan di samping mengambil kira majoriti masyarakat setempat. Aktiviti mengambil minuman keras mestilah dikawal PBT di premis yang tidak bercampur dengan aktiviti perniagaan untuk orang Islam.

Kaedah dan peraturan penjualan arak

Memandangkan membeli dan meminum arak adalah fenomena yang begitu kritikal menular di kalangan muda-muda hari ini, maka sebagai negeri maju dan didominasi oleh orang Islam, maka tindakan drastik perlu dibuat segera agar gejala buruk ini dapat dibendung melalui pelaksanaan undang-undang yang berkesan yang dapat dipatuhi oleh masyarakat awam selain daripada kesedaran daripada pihak masyarakat sendiri.

Pelaksanaan ini boleh dilihat kepada negeri Kelantan yang menghadkan kelulusan lesen penjualan arak kepada premis bukan Islam, namun dikeluarkan dalam jumlah yang terkawal mengikut keperluan sesuatu tempat.

Antara langkah awal yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan ialah menyusun semula premis penjualan arak berkuatkuasa mulai 1 Julai 1993. Semua jenis arak tidak dibenarkan lagi diminum di tempat awam, termasuk hotel, restoran atau kedai makan.

Namun orang bukan Islam boleh minum di rumah kediaman mereka atau di tempat bukan tempat awam. Ini dapat dibuktikan sebagai contoh di bandar Kota Bharu hanya terdapat 19 premis perniagaan bukan Islam yang menyediakan minuman itu kepada bukan Islam.

Kejayaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melaksanakan peraturan Islam di kawasan pentadbirannya menarik minat pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan dan penyelidik dari institusi pengajian tinggi.

Pelaksanaan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak PBT di negeri Kelantan boleh diikuti di negeri lain, khususnya di negeri Selangor, walaupun suasana politik dan populasi masyarakat mengikut kaum yang berbeza.

Langkah pensrukturan semula kedai menjualan arak di mana hanya lapan kedai milik orang bukan Islam yang diberi lesen bagi menjual minuman keras berbanding sebelum 1990 adalah sebanyak 86 buah.

Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Kelantan begitu berhemah, bermula dengan memperkenalkan arak sebagai produk yang berbahaya dan haram, peraturan penjualan diperketatkan.

Peringkat awal setiap peniaga arak dipantau dan memastikan mereka tidak menjual arak kepada orang muslim. Kini mereka semakin memahami dan ramai yang menutup kedai untuk bertukar ke perniagaan lain yang lebih baik. Akhirnya rakyat bukan muslim di negeri itu memahami bahawa mereka boleh hidup tanpa arak.

Pendekatan utama yang dilihat ialah memastikan pengeluaran lesen penjualan arak yang diluluskan adalah terhad mengikut kesesuaian majoriti penduduk bukan Islam di sesuatu tempat. Begitu juga kedai-kedai 24 jam yang menjual arak dikenalpasti sebagai tempat yang menjadi tumpuan anak-anak remaja Islam, seperti di 7-Eleven.

Semua kedai dan pasaraya terutama kedai 24 jam ini hendaklah menjual arak kepada pelanggan yang layak sahaja iaitu mereka yang bukan Islam dan menurut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, premis-premis hendaklah mengeluarkan dan menguatkuasakan arahan tidak menjual arak kepada mereka yang muslim. Sebagai contoh pasaraya Giant kini telah menguatkuasakan arahan tersebut.

Terdapat di kalangan pasar raya menggunakan troli yang mempromosikan arak yang turut sama digunakan oleh orang Islam yang mengunjungi pasar raya tersebut. Justeru pihak pasaraya perlu melakukan penambahbaikan dalam pengurusan mereka demi menjaga sensitiviti masyarakat Islam dan negara Malaysia yang dilabelkan sebagai negara Islam.

Cadangan

1. Penjualan arak juga hendaklah dilakukan di satu sudut yang agak tertutup dan memaparkan dengan jelas papan tanda yang menyatakan bahawa penjualan arak kepada umat Islam adalah merupakan satu kesalahan.

2. Manakala kaunter penjualan arak hendaklah dikendalikan oleh orang yang bukan Islam. Mereka juga hendaklah memisahkan kaunter pembayaran barangan tidak halal dibuat di kaunter khas yang dijaga oleh bukan Islam.

3. Mengeluarkan lesen perniagaan daripada MPK dengan syarat tidak menjual arak kepada premis seperti berikut:
a. Kedai 7-Eleven
b. Kedai runcit/pasar mini (seperti 99 )/kedai ubat
c. Restoran /kedai makan yang terbuka (restoran yang tertutup sahaja dibenarkan)
d. Kiosk stesyen stesyen minyak.

*Mohd Termizi Ismail adalah seorang ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan aktivis PAS

Advertisements

2 comments on “Cadangan kawal jualan arak

  1. apa kata minta MB selangor dan KM Penang tutup semua kelab kelab malam di negeri berkenaan.Tak baik makan hasil arak.nanti kita dilakna Allah taala.nauzubillah.kita jangan ikut mcm pentadbiran yg lalu.

  2. arak….emmmmph……PR selangor kan lebih bagus undang2nya drpd undang2 Allah…sbb itu nak juga duit arak tu,,,,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s